
Umat Islam seringkali menerima kemalangan sebagai takdir, walhal sebahagian besarnya dapat dielakkan jika mereka memandu dengan sabar, disiplin, tidak mementingkan diri dan mengambil langkah berhati-hati, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nik Omar Nik Abdul Aziz.
Dalam mesej mengelak kemalangan di musim perayaan beliau di laman sesawang Yadim hari ini, Nik Omar berkata langkah berhati-hati dan sentiasa beringat sebelum kena perlu diambil dan tidak sesekali menyalahkan takdir kerana ia adalah sesuatu yang bertentangan dengan keyakinan agama.
Menurutnya dalam Bernama, dapatan kajian menunjukkan 80 peratus kemalangan disebabkan oleh kecuaian manusia manakala hanya 10 peratus disebabkan faktor fizikal dan selebihnya faktor lain seperti jarak penglihatan rendah (disebabkan hujan) atau kenderaan tidak diselenggara secara berkala.
“Islam sentiasa menyuruh kita berhati-hati dan sentiasa mendoakan keselamatan”, katanya, sambil menambah antara doa lazim yang diajar ialah di dalam al-Quran surah Al-Qasas ayat 85.
Nik Omar berkata agama menuntut supaya bersederhana dan tidak terlalu teruja sehingga hilang tumpuan untuk sampai ke destinasi.
“Sikap gopoh, hilang sabar dan pertimbangan fikiran yang goyah dikenal pasti sebagai punca kemalangan yang terbesar berbanding faktor mekanikal dan fizikal. Sekiranya kita berasa letih dan mengantuk hendaklah berhenti rehat dan buatlah sedikit senaman ringan,” katanya.
— BERNAMA