van dijk livepool
Gambar: Liverpool FC

“Jangan Panik” – Van Dijk

Muhammad Farhan

“Jangan Panik” – Van Dijk

Kapten pasukan Liverpool, Virgil Van Dijk menyatakan kepada pasukannya untuk tidak perlu cemas selepas tewas tipis 0-1 kepada Galatasaray dalam perlawanan kedua Liga Juara-Juara (UCL) 2025/26 di Rams Park pada awal pagi tadi.

“Saya rasa kami sudah menunjukkannya dalam banyak perlawanan musim ini, tetapi malangnya kami belum mampu melakukannya sepenuh 90 minit.

“Itu perkara biasa dan pada masa kini anda tidak diberi masa oleh dunia luar, jadi anda perlu kuat dari segi mental.

“Saya sangat yakin. Kami perlu terus bekerja keras dan kekal bersama. Kami telah bermula dengan baik musim ini dari segi kutipan mata.

“Tak perlu panik, tetapi penambahbaikan yang diperlukan.”

Dalam perlawanan berkenaan, tuan rumah berjaya meraih sepakan penalti pada minit ke-16 selepas Dominik Szoboszlai didakwa mengasari pemain Aydin Yilmaz.

Penyerang Victor Osimhen mudah menyempurnakan sepakan penalti itu untuk meletakkan Galatasaray di depan dengan kelebihan 1 gol.

Meskipun The Reds cuba memberi saingan dengan beberapa siri serangan, namun benteng pertahanan tuan rumah kebal sehingga tamat 90 minit.

Gol tunggal Osimhen sudah cukup menjadi pemisah dan tiga mata yang cukup berharga buat pasukannya.

Manakala kekalahan yang direkodkan ini merupakan kekalahan kedua Liverpool selepas dikejutkan Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada minggu lalu.

Sementara itu, jurulatih Liverpool, Arne Slot pula mempertahankan prestasi pasukannya walaupun kehilangan beberapa tonggak utama.

Difahamkan, penjaga gol Alisson Becker disahkan mengalami kecederaan otot dan terlepas aksi menentang Chelsea hujung minggu ini, manakala penyerang Hugo Ekitiké turut cedera selepas babak kedua.

Walau bagaimanapun, dia memuji persembahan anak-anak buahnya terutamanya dalam babak pertama.

Namun, Slot mengakui pasukannya berdepan sedikit kesukaran pada babak kedua selepas Galatasaray mula meningkatkan intensiti permainan habis-habisan.

Liverpool kini dijadualkan berdepan cabaran getir apabila bakal bertandang ke Stamford Bridge menentang Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu ini.

Sumber: The Guardian

BACA: Liverpool dikejutkan dengan kekalahan 1-0 ketika bertemu Galatasary bagi perlawanan peringkat kumpulan Champions League (UCL)

BACA: SPRM Tumpu Tingkat Kemahiran Forensik Untuk Tangani Jenayah Kewangan