
Jangan Panik, Mekanik Kongsi Langkah Perlu Dibuat Jika Kereta Dinaiki Air Banjir
Apabila musim banjir melanda, kebimbangan bukan sahaja tertumpu kepada keselamatan diri dan keluarga.
Keadaan kereta juga turut menjadi kerisauan, lebih-lebih lagi yang bergantung sepenuhnya kepada kenderaan untuk urusan harian.
Dalam keadaan cemas seperti ini, ramai pemilik kereta cenderung bertindak mengikut naluri tanpa benar-benar mengetahui langkah yang sepatutnya diambil.
Justeru, kali ini SK akan kongsi perkara yang wajib anda tahu jika kereta dinaiki air pada musim banjir.
Untuk makluman pembaca, perkongsian ini diambil daripada mekanik menerusi akaun TikTok @Altimat Auto Garage.
Menurut mekanik tersebut, beberapa langkah awal boleh diambil bagi mengurangkan risiko kerosakan serius terhadap kenderaan.
Jelasnya, sekiranya hujan lebat berterusan dan kawasan tempat tinggal anda mudah dinaiki air, pemilik kenderaan disarankan untuk mengalihkan kereta ke kawasan parkir yang lebih tinggi dan selamat.
Selain itu, dia turut menasihatkan agar semua dokumen penting yang disimpan dalam kereta dikeluarkan lebih awal.
Dalam pada itu, dia menjelaskan bahawa pemilik kereta juga disarankan untuk mencabut bateri kenderaan dan menyimpannya di lokasi yang tidak terjejas oleh banjir.
“Ini untuk mengelakkan kereta terkena electrical shock,” jelasnya.
Sekiranya keadaan tidak dapat dielakkan dan kereta telah tenggelam akibat banjir, @Altimat Auto Garage menegaskan supaya pemilik kenderaan tidak sesekali cuba menghidupkan enjin selepas air surut.
“Tolong jangan cuba-cuba nak start kereta, sebab boleh terjadinya hydrolock,” nasihatnya.
Difahamkan, ia merupakan keadaan di mana air masuk ke dalam enjin dan mengakibatkan kerosakan serius dengan kos pembaikan yang tinggi.
Mekanik itu turut menasihati agar kereta ditunda terus ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut.
Menurutnya, bagi kenderaan yang telah ditenggelami banjir, air sudah tentu telah memasuki enjin. Justeru, pemeriksaan oleh pihak bengkel adalah langkah paling selamat.
Mekanik @Altimat Auto Garage turut mengingatkan agar semua pengguna jalan raya lebih berwaspada ketika memandu dalam musim hujan.
Sumber: Altimat Auto Garage via TikTok