Jangan Pandang Remeh: Emosi Seharian Boleh Jejas Kesihatan
Gambar AI
Tiada Kategori

Jangan Pandang Remeh: Emosi Seharian Boleh Jejas Kesihatan

suhaila

Jangan Pandang Remeh: Emosi Seharian Boleh Jejas Kesihatan Anda

Kita sering menganggap emosi sebagai perkara yang hanya mempengaruhi mood atau cara kita berfikir. Tetapi hakikatnya perasaan yang kita alami setiap hari mempunyai impak yang jauh lebih besar daripada yang disangka.

Marah, sedih, cemas atau takut bukan sahaja memberi tekanan kepada minda. Malah secara diam-diam ia juga boleh menjejaskan organ-organ penting dalam tubuh kita.

Ketika emosi negatif dibiarkan berlarutan, ianya boleh menimbulkan ketidakseimbangan dalaman. Akhirnya menjejaskan fungsi hati, paru-paru, perut, jantung, otak dan buah pinggang.

Banyak individu tidak menyedari bahawa tekanan emosi yang tidak diurus dengan baik adalah salah satu punca utama masalah kesihatan kronik yang sering muncul tanpa amaran.

Memahami hubungan antara emosi dan kesihatan fizikal adalah langkah pertama untuk hidup dengan lebih sihat, seimbang dan bertenaga. Selain itu, tubuh kita sebenarnya sering memberi isyarat halus apabila emosi negatif mulai menjejaskan kesihatan.

Sesak nafas dan gangguan pencernaan adalah antara tanda awal yang boleh muncul. Tekanan darah tinggi, keletihan mental serta ketidakstabilan emosi pula menunjukkan organ dalaman sedang mengalami tekanan akibat emosi.

Dengan mengambil serius kesan emosi terhadap tubuh, kita akan dapat mengelakkan masalah kesihatan fizikal yang lebih serius. Selain itu, kita juga dapat membina kesejahteraan mental yang lebih mantap.

Mengurus emosi secara bijak, mempraktikkan teknik relaksasi dan memberi perhatian kepada isyarat tubuh adalah kunci untuk melindungi diri daripada kesan jangka panjang emosi negatif. Ianya sekaligus dapat membantu kita menjalani kehidupan yang lebih harmoni dan bermakna.

1. Kemarahan dan hati

Apabila seseorang merasa marah atau tersinggung, tubuh tidak sekadar mengalirkan adrenalin tetapi juga memberi tekanan fizikal kepada organ hati. Hati merupakan salah satu organ penting dalam tubuh.

Ianya bukan sahaja berperanan menyaring toksin tetapi juga penting dalam mengawal pengeluaran hormon, tenaga dan metabolisme badan.

Apabila emosi kemarahan berpanjangan, ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan fungsi hati. Seterusnya akan meningkatkan risiko penyakit hati, gangguan pencernaan dan masalah metabolik yang lain.

Oleh itu, pengurusan kemarahan bukan sekadar untuk kesejahteraan mental semata-mata tetapi juga langkah penting untuk melindungi kesihatan organ dalaman.

Teknik pengurusan kemarahan seperti meditasi, senaman ringan, menulis jurnal atau mengamalkan pernafasan dalam boleh membantu menenangkan minda dan mengurangkan ketegangan.

Langkah ini juga penting untuk memastikan hati berfungsi dengan baik. Kesedaran terhadap emosi sendiri dan mengambil tindakan positif ketika marah adalah kunci kepada keseimbangan tubuh dan minda.

2. Kesedihan mendalam dan paru-paru

Kesedihan yang mendalam terutama selepas kehilangan atau peristiwa traumatik akan memberikan impak secara langsung kepada paru-paru. Ia merupakan organ yang bertanggungjawab untuk menyediakan oksigen kepada seluruh tubuh.

Emosi berat seperti kesedihan yang tidak diproses dengan baik boleh menimbulkan ketegangan pada paru-paru dan mengganggu fungsi pernafasan.

Keadaan ini juga boleh menyebabkan masalah seperti sesak nafas atau keletihan yang kronik. Paru-paru yang sering digambarkan sebagai punca tenaga hidup sangat sensitif terhadap tekanan emosi. Ianya dapat memberikan tanda awal apabila seseorang menahan emosi secara berterusan.

Untuk melindungi kesihatan paru-paru, penting untuk memberi ruang kepada diri sendiri bagi merasai dan memproses kesedihan.

Ianya sama ada melalui perkongsian emosi dengan orang terdekat, kaunseling profesional, terapi seni atau aktiviti yang menenangkan seperti berjalan di alam semula jadi.

Dengan memberi perhatian kepada kesedihan dan belajar melepaskan emosi dengan cara yang sihat, tubuh bukan sahaja akan lebih ringan tetapi paru-paru dan sistem pernafasan dapat berfungsi dengan lebih optimum.

3. Kebimbangan dan perut

Selain itu, kebimbangan yang berterusan mempunyai kesan yang sangat ketara terhadap perut dan sistem pencernaan. Ini adalah kerana emosi ini boleh merangsang pengeluaran hormon stres seperti kortisol yang mempengaruhi penghadaman.

Apabila seseorang berada dalam keadaan risau atau stres secara berpanjangan, risiko mengalami masalah seperti ulser, refluks asid, gastrik dan gangguan usus meningkat dengan ketara.

Perut sering dirujuk sebagai otak kedua kerana sensitiviti dan hubungannya dengan sistem saraf. Ianya boleh menjadi tempat pertama untuk menunjukkan kesan negatif tekanan emosi.

Untuk menjaga kesihatan sistem pencernaan, adalah penting untuk mengamalkan teknik pengurusan stres yang berkesan. Contohnya, seseorang boleh mengamalkan meditasi, yoga ringan atau rutin senaman yang sederhana.

Selain itu, penting juga untuk menjaga pemakanan seimbang dan mengelakkan tabiat makan terburu-buru. Mengurus kebimbangan secara proaktif bukan sahaja membantu mengurangkan risiko masalah pencernaan tetapi juga meningkatkan kesejahteraan emosi dan fizikal secara keseluruhan.

4. Tekanan dan jantung serta otak

Tekanan kronik atau stres yang berpanjangan juga boleh memberi kesan langsung kepada jantung dan otak. Mereka merupakan dua organ utama yang mengawal kesejahteraan tubuh dan minda.

Apabila seseorang berada dalam keadaan tekanan, kadar tekanan darah akan meningkat, jantung bekerja lebih keras dan risiko penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok turut meningkat.

Pada masa yang sama, otak akan menghadapi kesukaran untuk mengekalkan fokus, ingatan dan kestabilan emosi apabila terdedah kepada tekanan berterusan. Keadaan ini boleh menjejaskan produktiviti dan kualiti hidup.

Untuk mengurangkan kesan negatif tekanan, amalan relaksasi seperti meditasi, yoga, mendengar muzik, menulis jurnal atau meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan sahabat sangat bermanfaat.

Mengambil masa untuk diri sendiri walaupun seketika dapat membantu menenangkan minda dan menurunkan tekanan darah. Langkah ini juga dapat mengurangkan risiko gangguan jantung serta mengekalkan fungsi kognitif otak dengan lebih baik.

5. Ketakutan dan buah pinggang

Antara lain, perasaan takut atau cemas yang berlebihan boleh memberi tekanan kepada buah pinggang melalui tindak balas “fight-or-flight” yang merangsang pengeluaran hormon stres.

Tekanan berulang atau kronik akibat ketakutan yang tidak diurus boleh menyebabkan gangguan fungsi buah pinggang dan menyumbang kepada masalah kesihatan jangka panjang.

Ianya termasuk tekanan darah tinggi dan ketidakseimbangan elektrolit dalam badan. Oleh itu, mengurus ketakutan dengan bijak adalah penting untuk mengekalkan kesihatan buah pinggang.

Teknik seperti pernafasan dalam, meditasi, refleksi diri dan aktiviti yang menenangkan minda amat disarankan.

Dengan membina kesedaran emosi dan kemampuan untuk mengawal rasa takut, anda bukan sahaja melindungi buah pinggang tetapi juga meningkatkan kesejahteraan keseluruhan tubuh.

Langkah ini turut mengurangkan tekanan fizikal dan mental serta membantu menjalani kehidupan yang lebih seimbang.

Secara keseluruhannya, kesihatan mental dan emosi mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan kesejahteraan fizikal. Emosi yang tidak diurus dengan baik boleh menjejaskan fungsi organ dalaman dan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan yang sukar dipulihkan.

Sebaliknya, dengan mengamalkan mindfulness, mengurus stres dan membina strategi yang sihat, kita bukan sahaja melindungi organ-organ penting dalam tubuh tetapi juga meningkatkan kualiti hidup dan tenaga secara keseluruhan.

Kesedaran terhadap emosi sendiri dan langkah proaktif untuk mengekalkan keseimbangan emosi dan fizikal adalah kunci untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat dan berkesan.

Sumber : Health, lagunapsychology

BACA : Ini 11 Keistimewaan KKM Untuk Penderma Darah