Jangan Layan SMS Dari Nombor Tak Dikenali, Jangan Tekan Link Yang Diberikan – PDRM

Eyla Azri

Kebelakangan ini, sering kita dengar berita penipuan siber atau scam yang terjadi di dalam, mahupun di luar negara. Penjenayah siber terus mencuba seribu satu cara untuk memperdayakan mangsa agar termasuk dalam jerat mereka.

Oleh itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), melalui laman Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police berkongsi maklumat tentang kaedah phishing, salah satu cara yang digunakan penjenayah siber untuk mendapatkan maklumat perbankan internet.

Dalam perkongsian tersebut, PDRM turut memberi pesanan agar berhati-hati sekiranya ada menerima mesej pesanan ringkas (SMS) dari nombor yang tak dikenali dan meminta untuk menekan pautan tertentu.

Melalui hantaran yang sama, PDRM turut menjelaskan modus operandi yang digunakan pihak tak bertanggungjawab ini serta tips dan nasihat untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan siber.

Mari kita ikuti perkongsian di bawah.

Modus operandi

1. Scammer biasanya akan menakutkan mangsa dengan mengatakan bahawa ada cubaan menceroboh akaun bank mangsa.

2. Mangsa diminta untuk menekan pautan (link) yang diberikan untuk mengemaskini maklumat akaun dari diceroboh.

Kredit: Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police

3. Pautan tersebut akan memasuki laman web yang menyerupai mana-mana bank.

Kredit: Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police

4. Mangsa yang mengisi maklumat tersebut sebenarnya telah memberikan maklumat perbankan dan peribadi kepada scammer.

5. Scammer akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pihak bank dan meminta no TAC yang diterima mangsa.

6. Scammer akan memindahkan wang dari akaun mangsa ke akaun lain.

Tips dan nasihat

1. Jangan layan SMS dari nombor yang tidak dikenali. Baca boleh, percaya jangan.

2. Jangan tekan pautan (link) yang diberikan.

3. Semak alamat laman web perbankan internet di laman web rasmi bank tersebut.

4. Jangan isi maklumat perbankan/peribadi pada laman web yang curiga.

5. Pastikan perkataan/gambar keselamatan perbankan internet anda yang betul dipaparkan sebelum memasukkan kata laluan.

6. Jangan berikan nombor TAC kepada pihak ketiga.

Sampaikan mesej kasih sayang ini kepada keluarga, rakan dan teman hidup anda.

Sumber: Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police