Setiap kegiatan jenayah pastinya mempunyai hukuman yang dikenakan ke atas pesalah. Hukuman yang dijatuhkan bagi memberi pengajaran kepada pesalah dan juga orang ramai supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut. Salah satu hukuman yang sangat ditakuti adalah hukuman gantung sampai mati.
Bagi pelaksanaan hukuman ini, terdapat pelbagai langkah yang perlu diambil sebelum hukuman dijatuhkan. Perkara ini dikongsikan menerusi laman rasmi AADK Besut Perangi Dadah yang menerangkan mengenai hukuman ini.
Menurut perkongsian tersebut, setiap banduan akan diberikan pilihan untuk menikmati ‘hidangan terakhir’ bernilai RM7.50. Selain itu, mereka juga dibenarkan untuk memilih pakaian yang hendak dipakai pada hari hukuman dilaksanakan.
Kebiasaannya, banduan akan mengetahui waktu mereka dijatuhkan hukuman. Oleh itu, sudah pastinya suasana pilu menyelubungi perjumpaan terakhir bersama keluarga dan orang yang tersayang.
Lazimnya, pada hari hukuman dijalankan, banduan akan meminta sebatang pen dan kertas untuk meninggalkan nota terakhir kepada ahli keluarganya.
Menurut perkongsian tersebut juga, kebanyakan kes hukuman gantung adalah berkaitan dengan dadah. Oleh itu, kes-kes berkaitan dadah ini tidak boleh diambil ringan oleh orang-orang sekeliling terutamanya keluarga. Perkara ini kerana sesebuah institusi kekeluargaan itu akan terjejas sekiranya terdapat ahli yang terlibat dengan gejala dadah.
Sumber:
AADK Besut Perangi Dadah