Kuala Lumpur : Taman Tasik Titiwangsa di sini yang baharu siap menjalani proses menaik taraf dan belum pun dibuka secara rasmi kepada orang ramai, namun sudah dicemari insiden jelik.
Manakan tidak, taman berkenaan telah diubahsuai dengan indah dan dijangka dibuka pada awal Januari depan, tetapi pokok-pokok renek dan pokok bunga yang ditanam di kawasan itu telah dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Meskipun sepanjang kawasan itu ditutup dengan penghadang, masih ada individu yang tidak menghiraukannya dan tetap menceroboh masuk malah bertindak membuang sampah di sekitar taman itu tanpa rasa bersalah.
Gambar : Front Desk/Facebook DBKLDewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berkongsi perbuatan tidak bermoral itu di Facebook rasminya memohon orang ramai agar tidak menceroboh kawasan taman tersebut sehingga pengumuman rasmi tentang pembukaannya dilakukan.
”Kami faham betapa kalian semua tidak sabar-sabar hendak menggunakan taman ini… Kami pun sama!
”Namun, itu tidak bermakna kalian dibenarkan untuk ‘trespass’ / menceroboh kawasan-kawasan yang masih ditutup, melangkau barrier-barrier sehingga sanggup memijak pokok-pokok renek dan pokok-pokok bunga yg ditanam — itu adalah satu tindakan yang tak bertanggungjawab.
Gambar : Front Desk/Facebook DBKL”(Tindakan itu) Juga boleh meletakkan kalian di dalam kesalahan yang boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, di bawah Undang-undang Kecil Taman (WP KL) 2012, ya,” ujar DBKL.
Penutupan Taman Tasik Titiwangsa yang bermula 1 Sept tahun lalu bertujuan memberi laluan kepada pelaksanaan projek ‘River of Life’ yang melibatkan kerja-kerja naik taraf fasiliti serta kemudahan taman demi keselesaan pengunjung.
Sumber : Front Desk Bernama