Jangan Buang Sembarangan! Barang Rumah Ini Sebenarnya Sangat Berbahaya
Dalam rutin harian, kita sering menganggap semua barang yang tidak lagi digunakan boleh saja dibuang ke dalam tong sampah seperti biasa.
Namun hakikatnya tidak semua barangan rumah tergolong sebagai sisa biasa yang selamat untuk dilupuskan. Ada yang kelihatan kecil, remeh dan tidak berbahaya.
Tetapi sebenarnya menyimpan risiko tersembunyi yang mampu mencetuskan pencemaran, kerosakan harta benda malah boleh mengancam keselamatan ahli keluarga tanpa disedari.
Inilah kesilapan yang sering berlaku. Kita selalu membuang sesuatu tanpa memahami kandungan, tindak balas atau potensi bahayanya terhadap alam sekitar dan komuniti sekeliling.
Lebih membimbangkan, banyak insiden seperti kebakaran kecil, letupan, paip tersumbat, jangkitan dan pencemaran tanah sebenarnya berpunca daripada cara pelupusan barang rumah yang tidak betul.
Walaupun kita jarang memikirkannya, setiap barang yang dibuang sebenarnya membawa kesan jangka panjang jika tidak diuruskan dengan cara yang betul.
Oleh itu, penting untuk mengenali barang tertentu di dalam rumah yang berbahaya tidak boleh dibuang sembarangan.
Langkah ini bukan sahaja membantu melindungi keselamatan rumah sendiri tetapi juga memastikan kita memainkan peranan dalam menjaga kelestarian persekitaran.
1. Bateri
Bateri seperti AA, AAA, bateri peranti elektronik termasuk powerbank nampak seperti barangan harian biasa yang tidak mendatangkan apa-apa masalah.
Namun sebaliknya, bateri sebenarnya menyimpan pelbagai logam berat seperti merkuri, plumbum dan litium yang boleh bertindak balas apabila terdedah kepada panas atau tekanan.
Jika dibuang di tong sampah biasa, ia berpotensi bocor dan mencemarkan tanah serta sumber air. Mnakala powerbank pula mampu mencetuskan kebakaran atau letupan kecil jika terhimpit bersama sisa lain.
Bayangkan sesuatu yang kita anggap tidak berbahaya sebenarnya membawa risiko besar yang boleh menjejaskan keselamatan rumah dan persekitaran.
Sebab itulah bateri perlu dilupuskan di pusat kitar semula elektronik atau fasiliti e-waste yang disediakan oleh pasar raya besar dan kedai elektronik.
Ramai Tak Tahu! Barang Rumah Ini Sebenarnya Berbahaya Kalau Dibuang Begitu Saja
2. Lampu fluoresen dan mentol LED
Walaupun lampu nampak seperti objek yang mudah rosak dan ringan, tidak ramai sedar ia mengandungi bahan toksik seperti merkuri terutama untuk lampu jenis tiub dan CFL.
Jika pecah atau dibuang ke tapak pelupusan biasa, merkuri boleh tersebar ke udara atau meresap ke tanah. Ianya akan membawa risiko kepada sistem saraf manusia dan haiwan.
Proses pembuangan yang salah juga boleh meningkatkan risiko pencemaran kimia di rumah atau kawasan komuniti.
Oleh itu, setiap kali menukar lampu yang sudah rosak, pastikan ia dibungkus kemas dalam kotak asal dan dihantar ke pusat e-waste agar dapat dilupuskan secara lebih selamat dan terkawal.
3. Barangan elektrik dan elektronik
Peralatan barang elektrik di rumah seperti televisyen, laptop, periuk elektrik, microwave dan pelbagai gajet lain sebenarnya dikategorikan sebagai e-waste yang memerlukan kaedah pelupusan khusus.
Ini kerana komponen dalam peralatan elektrik mengandungi bahan kimia, logam berat dan komponen plastik yang sukar terurai.
Jika dibuang sembarangan, ia bukan saja mencemarkan tanah tetapi juga boleh mencetuskan kebakaran kerana sesetengah peranti masih menyimpan sisa elektrik atau bateri dalaman.
Dengan teknologi yang sentiasa berubah, kita semakin kerap menukar gajet dan peralatan. Ini akan menjadikan pengurusan e-waste lebih penting untuk dijaga secara berhemah.
4. Cat, thinner dan bahan kimia rumah
Di ruang stor rumah biasanya terdapat tin cat lama, thinner, minyak mesin atau pelarut yang kita simpan untuk kegunaan masa depan.
Namun apabila tidak lagi digunakan, ramai yang mencampakkan sahaja ke dalam tong sampah atau menuangnya ke longkang.
Tindakan ini sebenarnya sangat berbahaya kerana bahan kimia tersebut boleh menjejaskan saluran pernafasan, merosakkan sistem air dan mencemarkan tanah.
Malah ada juga bahan yang boleh menyebabkan letupan kecil jika ia bertindak balas dengan bahan lain.
Ia bukan sekadar membahayakan ahli rumah tetapi juga pekerja kutipan sampah dan komuniti setempat.
Penyelesaiannya ialah menghantar sisa kimia ini ke program pelupusan bahan berjadual agar ia diuruskan oleh pihak yang lebih pakar.
5. Tong gas masak
Ramai menyangka tong gas yang sudah tidak digunakan adalah selamat untuk dibuang begitu sahaja walhal hakikatnya jauh berbeza.
Tong gas sering kali masih menyimpan sisa LPG walaupun kelihatan kosong dari luar. Gas yang terperangkap ini boleh menjadi sangat mudah meletup apabila terdedah kepada hentakan kuat, suhu panas atau geseran.
Situasi seperti ini bukan sahaja mengundang risiko kecederaan yang serius tetapi juga boleh mencetuskan kebakaran yang sukar dijangka apabila berada berhampiran sumber api.
Oleh itu, semua tong gas yang tidak lagi digunakan perlu dipulangkan kepada pengedar atau syarikat gas berlesen. Ini membolehkan ia diuji semula, dikitar semula atau dilupuskan mengikut prosedur keselamatan yang ketat.
6. Ubat-ubatan luput
Ubat yang sudah tamat tempoh sebenarnya tidak boleh dibuang ke sinki atau ke dalam tandas kerana bahan kimianya akan terus masuk ke sistem kumbahan dan akhirnya mencemarkan sungai serta sumber air.
Lebih membimbangkan, sisa ubat yang dibuang secara terbuka dalam tong sampah juga boleh ditemui oleh kanak-kanak atau haiwan peliharaan.
Ianya sekali gus boleh meningkatkan risiko keracunan yang boleh membawa kepada kecederaan serius atau kematian.
Di samping itu, kandungan aktif dalam ubat walaupun telah luput masih boleh memberi kesan terhadap ekosistem apabila memasuki sistem perairan dan tanah secara berterusan.
Oleh sebab itu, farmasi menyediakan program khas seperti Return Your Medicines Program (RYMP) bagi membantu orang ramai memulangkan ubat lama untuk dilupuskan secara profesional dan selamat.
Langkah ini bukan sahaja melindungi alam sekitar tetapi juga menjaga keselamatan komuniti agar tidak terdedah kepada bahan farmaseutikal berisiko tinggi.
7. Minyak masak terpakai
Minyak masak terpakai yang dituang ke dalam sinki boleh menjadi punca utama paip dan longkang tersumbat.
Ia juga akan memerangkap sisa makanan serta membentuk lapisan gris yang akhirnya menyebabkan aliran air tersekat sepenuhnya.
Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan bau busuk tetapi juga menggalakkan pembiakan serangga perosak seperti lipas dan tikus yang menyukai kawasan lembap dan berbau.
Lebih membimbangkan, apabila minyak tersebut mengalir masuk ke sistem pembetungan, ia boleh mencetuskan masalah pencemaran air yang berpanjangan dan menjejaskan kesihatan masyarakat setempat.
Oleh itu, minyak masak seharusnya disimpan dalam botol tertutup dan dihantar ke pusat pengumpulan biodiesel yang menerima minyak terpakai daripada orang awam.
Dengan cara ini, minyak yang tidak lagi digunakan dapat diproses menjadi sumber tenaga baharu yang lebih bermanfaat dan mesra alam.
8. Bahan tajam
Jarum insulin, serpihan kaca, pisau rosak dan benda tajam lain tidak boleh dibuang begitu sahaja kerana ia boleh mencederakan pekerja kutipan sampah atau mana-mana individu yang menyentuhnya tanpa sengaja.
Lebih berbahaya jika bahan tajam tersebut mempunyai kesan darah atau bakteria. Ini kerana ia boleh menyebarkan jangkitan melalui luka kecil yang tidak disedari.
Ini termasuk risiko penularan penyakit yang serius. Sekali gus memberi kesan besar kepada kesihatan awam.
Kaedah yang paling selamat ialah memasukkan semua bahan tajam ke dalam bekas plastik keras seperti botol detergen, ditutup rapat dan dilabelkan dengan jelas untuk proses pelupusan yang betul.
Selain melindungi orang lain, langkah ini turut memastikan bahan klinikal rumah tidak mencemarkan persekitaran dengan cara yang tidak disedari.
9. Produk aerosol
Tin aerosol seperti pewangi bilik, racun serangga dan spray rambut mengandungi gas bertekanan tinggi yang mampu menyebabkan letupan kecil apabila terdedah kepada haba atau dimampatkan dalam ruang tertutup.
Walaupun ia kelihatan seperti produk harian yang tidak mendatangkan masalah, realitinya gas yang terperangkap boleh menjadi sangat tidak stabil apabila suhu meningkat atau tin tersebut mengalami kerosakan fizikal.
Insiden seperti ini boleh mencetuskan kebakaran, kecederaan dan kerosakan harta benda. Tterutama dalam persekitaran tertutup seperti dapur atau stor.
Oleh itu, setiap produk aerosol perlu dikosongkan sepenuhnya sebelum dihantar ke pusat pelupusan bahan kimia ringan yang diiktiraf.
Ini memastikan proses nyahtekanan dilakukan dengan selamat tanpa menimbulkan risiko kepada pekerja pengurusan sisa dan masyarakat.
10. Bahan pembersih rumah
Peluntur, ammonia, asid dan bahan pencuci kuat tidak boleh dicampurkan atau dibuang sembarangan. Ini kerana tindak balas kimia tertentu boleh menghasilkan gas toksik yang membahayakan pernafasan manusia.
Campuran bahan yang tidak disengajakan ini boleh menyebabkan kerengsaan kulit, sesak nafas dan dalam kes yang lebih serius, keracunan kimia yang memerlukan rawatan kecemasan.
Lebih buruk lagi, apabila bahan ini mengalir ke sistem perparitan. Ia ia boleh mencemarkan air mentah dan memberi kesan jangka panjang kepada hidupan akuatik.
Oleh itu, bahan kimia ini harus sentiasa disimpan dalam bekas asal dengan penutup yang ketat dan dihantar ke program pelupusan bahan kimia komuniti apabila tidak lagi digunakan.
Tindakan ini membantu mengurangkan risiko kebocoran kimia dan memastikan keselamatan seisi rumah sentiasa terpelihara.
Walau apa pun jenis barangan di rumah, setiap satu daripadanya membawa tanggungjawab yang perlu diambil serius ketika ingin dilupuskan.
Menyedari bahawa sesetengah barang rumah yang berbahaya dan tidak boleh dibuang sembarangan adalah langkah penting dalam menjaga keselamatan diri, ahli keluarga dan alam sekitar.
Dengan mempraktikkan cara pelupusan yang betul, kita bukan sahaja melindungi rumah daripada risiko kebakaran, letupan atau pencemaran tetapi juga memainkan peranan dalam memastikan bumi yang kita diami kekal sihat untuk generasi akan datang.
Sumber : thespruce, foxessellfaster
BACA : Buang Perabot Lama Jadi Mudah Dengan iClean Selangor