Ada penyakit yang serius ‘bersembunyi’ di sebalik simptom yang mungkin dianggap ringan oleh sesetengah orang. Mungkin ada yang kata, “Alah sakit biasa sahaja tu”, namun, pengesanan awal adalah lebih baik daripada penafian yang berakhir dengan penyesalan.
Salah satu sakit yang mungkin kerap dipandang ringan adalah sakit kepala. Pun begitu, sakit yang biasa ini mungkin boleh berkembang menjadi semakin serius hingga tidak lagi boleh dibendung. Ketika itu, pesakit mungkin sudah terlewat untuk mengetahui punca sebenar sakit kepala berterusan yang dideritai sekian lama.
Menurut Hello Doktor, sakit kepala pada waktu pagi adalah salah satu tanda kanser otak yang merupakan salah satu penyebab utama kematian. Biarpun penyelidik masih mengkaji punca utama kanser, namun tiga faktor risiko yang boleh menyumbang kepada penyakit ini adalah umur, sejarah kesihatan keluarga dan pendedahan terhadap radiasi.
Kanser otak merupakan ketumbuhan sel kanser yang tidak normal (tumor malignan) pada otak. Terdapat dua jenis kanser ini iaitu:
Kanser otak primari, ia jarang berlaku dan bermula dari otak.
Kanser otak sekunder, juga dipanggil metastatik yang bermula pada bahagian badan yang lain dan merebak ke otak serta selalu berlaku.
Kanser jenis ini sukar disembuhkan tetapi kadar jangka hayat boleh ditingkatkan dengan pengesanan awal. Sila berbincang dengan doktor tentang bagaimana anda boleh mendapatkan ujian saringan yang betul.
Kanser sekunder lebih banyak berlaku kepada orang dewasa, manakala kanser primari lebih kerap terjadi kepada kanak-kanak dan remaja bawah umur 20 tahun.
Malah, kanser jenis ini juga merupakan salah satu penyebab utama kematian.
Sakit kepala di waktu pagi
Loya dan muntah
Perubahan pada keupayaan untuk bercakap, mendengar atau melihat
Masalah dengan keseimbangan atau berjalan
Masalah dengan memori atau berfikir
Rasa letih dan mengantuk
Perubahan pada mood atau tingkah laku anda
Mungkin terdapat simptom yang tidak dinyatakan di atas. Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan berkaitan simptom tertentu, sila hubungi doktor dengan segera.
Anda harus hubungi doktor apabila mempunyai sebarang simptom yang berikut:
Simptom tidak berkurangan atau bertambah teruk
Sakit kepala kerap berlaku dan mengganggu aktiviti seharian
Jika anda mempunyai serangan sawan dengan kerap
Dalam kebanyakan kanser otak primari, punca sebenar masih belum diketahui. Sesetengah kanser primari mungkin disebabkan oleh mutasi pada sel tisu.
Ini mengakibatkan perkembangan sel kanser tidak normal pada kadar yang lebih laju. Bahkan, terdapat pelbagai jenis kanser otak primari dan ia bergantung pada jenis sel yang terlibat.
Sementara itu, Kanser jenis sekunder pula berlaku disebabkan oleh sel kanser daripada bahagian tubuh badan lain yang merebak (metatasis) ke otak.
Ini selalunya berlaku kepada pesakit yang mempunyai sejarah kesihatan kanser seperti:
Kanser payudara
Kanser kolon
Kanser buah pinggang
Kanser paru-paru
Kanser melanoma
Walaupun sukar untuk menentukan punca sebenar, namun doktor telah mengenal pasti beberapa faktor risiko iaitu:
Umur: Risiko anda terhadap tumor otak meningkat dengan usia, manakala terdapat beberapa jenis tumor yang hanya berlaku kepada kanak-kanak
Terdedah kepada radiasi
Sejarah kesihatan keluarga yang mempunyai kanser ini
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor untuk maklumat lanjut.
Apakah diagnosis kanser otak yang boleh dilakukan?
Untuk mendapatkan diagnosis yang tepat, doktor mungkin akan menjalankan ujian berikut:
Pemeriksaan medikal dan fizikal
Biopsi tumor otak untuk memeriksa sel tisu otak
Pengimejan magnetik resonan (MRI)
Scan tomografi berkomputer (CT scan)
Pilihan rawatan bagi kanser jenis ini mungkin melibatkan satu atau lebih daripada yang berikut:
Pembedahan
Melalui pembedahan, jenis dan posisi tumor akan menentukan sama ada prosedur ini boleh menyembuhkan pesakit atau tidak. Tambahan pula, pembedahan boleh membantu diagnosis kanser dan mengurangkan tekanan kepada otak.
Radiasi
Rawatan radiasi dilakukan oleh ahli profesional dan radioterapi kepada tumor yang tidak boleh dibuang selepas pembedahan dijalankan.
Kemoterapi
Kemoterapi ialah pilihan yang biasa dijalankan sebagai rawatan kanser tetapi ia tidak digunakan kepada kanser jenis primari.
Ubat anti epilektik seperti phenytoin selalunya digunakan sebelum dan selepas pembedahan untuk menghalang serangan sawan.
Bagi bengkak di kepala, doktor mungkin akan memberikan steroid (dexamethasone).
Apakah perubahan gaya hidup untuk tangani kanser otak?
Perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan ini mungkin membantu anda menangani kanser jenis ini:
Dapatkan kumpulan sokongan untuk membantu anda menjalani rutin seharian dan memberikan sokongan emosi
Berjumpa doktor selalu untuk memantau keadaan anda
Berkomunikasi dengan doktor tentang simptom baru atau jika gejalanya bertambah teruk
Berjumpa doktor segera jika anda mempunyai sawan atau sakit kepala yang baru terjadi untuk menghalang komplikasi penyakit
Jika mempunyai sebarang persoalan, sila berhubung doktor untuk mencari penyelesaian terbaik untuk anda.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.