JALUR GEMILANG: JANGAN SEMBUNYI DI SEBALIK SOP UNTUK TUTUP KEGAGALAN TANAM SEMANGAT PATRIOTIK
Merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda DAP Negeri Sembilan yang menggesa agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan SOP rasmi pemasangan Jalur Gemilang di sekolah-sekolah, ARMADA Negeri Sembilan ingin memberikan respon tegas dan terbuka.
Kami menyambut baik sebarang usaha untuk memartabatkan Jalur Gemilang, namun ingin mengingatkan bahawa semangat patriotik dan kecintaan kepada negara tidak boleh disandarkan semata-mata kepada SOP atau kertas pekeliling.
Isu sebenar bukan terletak pada tiadanya SOP, tetapi pada kegagalan sesetengah pihak dalam menanam nilai patriotik yang tulen dalam kalangan generasi muda. Menggesa SOP seolah-olah Jalur Gemilang ini perlu “manual pemasangan” hanya memperkecilkan keutuhan simbol negara kita.
Adakah kita memerlukan SOP untuk mencintai negara? Untuk menghormati bendera sendiri?
ARMADA Negeri Sembilan ingin menegaskan:
Patriotisme tidak perlu menunggu arahan bertulis. Sebuah sekolah yang cintakan negara pasti tahu mengibarkan Jalur Gemilang dengan bangga dan hormat.
SOP tidak akan mengubah mentaliti jika roh cintakan tanah air tidak dipupuk sejak awal. Apa guna SOP jika semangatnya kosong?
Pemuda DAP seharusnya lebih fokus kepada menyokong usaha menyemarakkan semangat kebangsaan, bukan bersembunyi di sebalik alasan teknikal dan birokrasi.
Kami tidak menolak garis panduan teknikal, namun ia hanyalah pelengkap – bukan syarat utama. Jalur Gemilang perlu menjadi lambang penyatuan, bukan sekadar bahan peraturan. Apa yang lebih penting ialah komitmen politik bersama untuk membina generasi yang bangga menjadi rakyat Malaysia.
ARMADA Negeri Sembilan menyeru semua pihak – khususnya rakan-rakan dari blok kerajaan – agar tidak memperkecilkan semangat kebangsaan dengan menjadikannya isu SOP, tetapi bersama kami memupuk budaya patriotik yang hidup dalam hati rakyat.
Negara ini dibina dengan darah, keringat dan air mata – bukan sekadar kertas panduan.
MUHAMMAD ADIB BIN MUSA
Ketua Armada Negeri Sembilan