
Jalan Tutup 3 Hari: Orang Ramai Kongsi Keadaan Sesak Petang Ini
Umum diketahui, beberapa laluan utama di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya telah ditutup atau dilencongkan buat sementara waktu bermula hari ini hingga Khamis, sempena lawatan rasmi Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping ke Malaysia.
Penutupan dan lencongan jalan ini merupakan sebahagian daripada langkah keselamatan dan persediaan protokol rasmi semasa ketibaan dan pergerakan delegasi kenegaraan Presiden Xi sepanjang lawatan beliau ke negara ini.
Bagaimanapun, petang ini, orang ramai mula membanjiri media sosial untuk berkongsi keadaan trafik yang dikatakan sangat sesak dan luar biasa di beberapa kawasan utama.
Rata-rata pengguna jalan raya memuat naik gambar dan video yang menunjukkan barisan kenderaan yang panjang serta kesesakan yang teruk, khususnya ketika waktu pulang kerja.
Menurut perkongsian beberapa pengguna media sosial, ada laluan yang telah mula ditutup seawal jam 5.30 petang, sekali gus menyebabkan aliran trafik menjadi perlahan dan sesak.
Terdapat juga aduan daripada pengguna jalan raya yang terkandas lebih sejam di lokasi tertentu.
https://www.facebook.com/groups/lalamovemalaysia/permalink/3964094017180638/?rdid=x14IkqsABK98ak4Z#
Untuk info, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) pada Ahad memaklumkan, penutupan penuh dan lencongan trafik akan dilaksanakan selama 30 hingga 45 minit bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi negara terbabit.
Antara laluan yang terlibat termasuk beberapa lebuh raya utama seperti Lebuh Raya ELITE, MEX, SUKE, NPE, KESAS dan Smart Tunnel, selain jalan-jalan utama di Putrajaya seperti Persiaran Selatan dan Lebuh Gemilang.
Selain itu, jalan-jalan sekitar pusat bandar Kuala Lumpur juga akan turut terjejas.
JSPT juga memaklumkan bahawa pada 15 April, penutupan akan bermula seawal jam 6 petang melibatkan laluan dari Lebuh KLIA ke Jalan P5 di Putrajaya.
Sementara itu, pada 16 April, tiga sesi penutupan jalan dijadualkan iaitu pada jam 9.30 pagi, 12.30 tengah hari dan 4.10 petang.
Manakala pada 17 April, laluan terakhir akan ditutup bermula jam 8.50 pagi, membabitkan perjalanan dari Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal sepanjang tempoh ini dan mematuhi segala arahan yang diberikan oleh anggota polis yang bertugas.
Pengarah JSPT, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, seramai 378 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan untuk mengiringi delegasi, mengawal lalu lintas serta memastikan kelancaran sepanjang lawatan itu berlangsung.
Beliau turut menyeru semua pengguna jalan raya agar memberikan kerjasama penuh dan mematuhi arahan semasa demi menjamin keselamatan serta kelancaran pergerakan sepanjang tempoh tersebut.
BACA: 17 Laluan Ditutup Sementara Sempena Lawatan Rasmi Presiden China
BACA: Presiden China Tiba Di Malaysia
BACA: Lelaki Cedera Diserang Sekumpulan Lelaki Bersenjata Parang Di Seremban
Sumber: Orang awam