Susulan tertularnya video sedutan sebuah drama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan bahawa pihaknya menentang keras dan mengambil serius mengenai isu tersebut.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff berkata pihaknya menentang keras penyiaran program seumpama itu yang jelas mempamerkan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam dengan aksi dan adegan tidak bermoral yang melampaui batas serta bertentangan dengan norma masyarakat dan hukum syarak.
Menurutnya, semua pihak sama ada stesen penyiaran, penerbit, penulis skrip dan pelakon digesa agar lebih cakna dan mengelakkan isu-isu seumpama ini.
Hal ini kerana, ia akan menyerap masuk ke dalam jiwa masyarakat khususnya golongan remaja dengan budaya dan norma yang bersalahan dengan ajaran Islam dan amalan murni masyarakat Malaysia.
Terdahulu, tular mengenai satu video sedutan sebuah drama yang memaparkan aksi kurang menyenangkan sehingga menimbulkan kemarahan ramai.

Sumber: JAKIM