Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka akan berlaku di 11 negeri sehingga pukul 10 malam ini.
Menerusi kenyataan di Twitter, MetMalaysia memaklumkan bahawa seluruh negeri Perak, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilanda cuaca buruk itu.
Selain itu, bagi negeri Kedah, daerah yang diramal akan dilanda ribut petir dan hujan lebat adalah di Padang Terap, Sik dan Baling. Manakala di Kelantan pula melibatkan Jeli dan Gua Musang.
Bagi Pahang pula, daerah yang terjejas adalah Tanah Tinggi Cameron, Raub dan Bera.
Sementara itu, daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor di Selangor dan daerah Kuala Pilah, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan turut diramal menghadapi cuaca yang sama.
“Di Johor, daerah yang terlibat adalah di Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat,” kata MetMalaysia.
Tambah kenyataan itu lagi, daerah Miri (Subis, Miri dan Marudi) dan Limbang di Sarawak dan Pedalaman (Kuala Penyu dan Beaufort) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu) di Sabah turut terlibat.
Orang ramai dinasihatkan untuk kekal berwaspada dan mengelakkan diri dari berada di tempat yang berisiko.
Sumber: metmalaysia