Jika dulu batik kerap diperagakan sebagai pakaian tradisional atau pakaian rasmi pada hari Khamis bagi penjawat awam, kini ianya telah ‘dinaiktaraf’ menjadi pakaian rasmi bagi sebuah syarikat gergasi di tanah air ini.
Percaya atau tidak, tema batik telah diangkat menjadi pakaian rasmi bagi semua kakitangan dan warga Berjaya Corp dan perubahan ini disahkan oleh ketua pegawai eksekutifnya, Jalil Rasheed.
Menerusi satu ciapan ringkas di laman Twitter pagi tadi, Jalil memaklumkan bahawa syarikat itu menetapkan satu polisi pakaian kerja baharu, di mana kakitangan lelaki diwajibkan memakai batik setiap hari, manakala wanita pula sangat digalakkan.
“Ini melibatkan kira-kira 20,000 staf secara langsung dan tidak langsung. Kami juga akan menggalakkan vendor dan pembekal kami untuk mengamalkan polisi ini sebaiknya,” katanya dalam ciapan tersebut.
Promosi budaya Malaysia
Apa yang menariknya adalah Jalil mempunyai impian besar untuk mempromosikan budaya Malaysia dalam suasana bekerja melalui pemakaian batik.
Tidak kurang juga, usaha tersebut juga berupaya menjadi medium utama memperkenalkan pakaian batik yang sememangnya menjadi warisan rakyat secara langsung.
Dalam pada itu, usaha ‘merevolusikan’ batik menjadi pakaian rasmi syarikat ini juga dikatakan sebagai langkah membantu mana-mana pengusaha atau mereka yang terlibat dengan industri pembuatan batik.
Jelasnya, selain merancakkan jualan batik, usaha ini juga mampu menjamin kelangsungan pembuatan kraf tangan mereka.
“Saya berharap lebih banyak lagi syarikat yang akan bergabung dengan kami dalam mempromosikan (batik) ini.
“Ini adalah perubahan kecil yang dapat kita buat daripada perspektif korporat. Kita buat apa yang kita mampu,” katanya.
Sumber: Twitter Jalil Rasheed