
Pelbagai lifehack boleh kita dapati di media sosial. Ada yang boleh ‘pakai’, ada pula sekadar trik yang tidak menjadi.
Baru-baru ini di satu aplikasi viral, tular tips menghentikan masalah hidung berair menggunakan bawang putih. Dalam rakaman dikongsikan seorang wanita, dia telah mencuba teknik menyumbat bawang putih di dalam kedua-dua lubang hidung kononnya untuk merawat radang sinus.
Melalui video yang dikongsikan semula oleh Mirror UK, wanita itu telah membuang bawang berkenaan selepas kira-kira 15 minit dibiarkan di dalam lubang hidung, membuatkan hingus meleleh daripada hidungnya.
Pun begitu, aksi itu ditegah oleh pengamal perubatan kerana dianggap berbahaya selain tidak mendatangkan kesan positif diinginkan.
Kongsi seorang pakar telinga, hidung dan tekak Dr Neil Bhattacharyya, trik itu boleh menyebabkan bahaya termasuklah dermatitis kontak.

Katanya, badan boleh bertindak balas kepada minyak dan bahan kimia di dalam bawang putih, menyebabkan dermatitis di dalam hidung.
“Sebahagian ulas bawang putih benar-benar kuat dan jika anda cukup melarutkan bahan kimia dan minyak ke dalam hidung, ia akan menyebabkan kerengsaan,” ujarnya seperti ditulis Mirror UK.
Tambah beliau, individu yang menggunakan cara itu mengalami rasa ‘lega yang palsu’.
Walaupun rasa seakan berkesan, sebenarnya ia hanyalah reaksi tubuh badan kepada sebatian yang berbau kuat, jelasnya.
Sebaliknya, beliau menyarankan penggunaan ubat semburan steroid untuk hidung yang boleh didapati di farmasi.