syarikat luar bisnes malaysia
Kredit: Bernama
Tiada Kategori

Jadi Rebutan, Ini Penyebab Syarikat Gergasi Luar Suka ‘Pacak’ Bisnes Di Malaysia

Sofea

Jadi Rebutan, Ini Penyebab Syarikat Gergasi Luar Suka ‘Pacak’ Bisnes Di Malaysia

Jika dilihat sejak beberapa tahun lalu, Malaysia berjaya menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia. Selain kepelbagaian agama dan bangsa, aspek ekonomi juga sentiasa menjadi salah satu tarikan yang membuatkan mereka yakin dengan Malaysia.

Dalam pada itu, semakin ramai warga asing yang memilih Malaysia sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan.

Fenomena ini bukan terjadi secara kebetulan, tetapi hasil gabungan faktor strategik yang menjadikan Malaysia medan yang ideal untuk mengembangkan perniagaan dan menembusi pasaran serantau. Berikut beberapa sebab yang perlu anda tahu.

Sebab syarikat asing suka berniaga dan melabur di Malaysia

1. Lokasi strategik

Antara faktornya adalah kerana lokasi Malaysia yang berada di tengah-tengah laluan perdagangan antarabangsa. Terletak secara strategik di antara Lautan Hindi dan Laut China Selatan, Malaysia juga menjadi pintu masuk terbaik ke pasaran ASEAN.

Dengan hubungan logistik yang kukuh melalui pelabuhan bertaraf dunia seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, serta lapangan terbang antarabangsa yang sibuk, Malaysia menawarkan kelebihan mobiliti dan akses pasaran yang sukar ditandingi.

Selain itu, asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan mampan, persekitaran sedia perniagaan, misi berpandangan ke hadapan dan tenaga kerja yang dinamik telah menjadikannya lokasi pelaburan yang menarik dan berdaya saing di rantau ini.

2. Dasar pro-pelaburan

Kerajaan Malaysia mengamalkan dasar ekonomi yang stabil, mesra pelabur, serta berpaksikan keterbukaan perdagangan. Peraturan yang jelas dan telus memberikan keyakinan kepada syarikat global untuk beroperasi tanpa risiko dasar yang tidak menentu.

Untuk pengetahuan, Malaysia telah menandatangani dan melaksanakan 17 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang terdiri daripada lapan perjanjian dua hala dan sembilan perjanjian serantau.

Pada 2022, Malaysia telah menguatkuasakan dua Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) serantau iaitu Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Antara FTA ini termasuk perjanjian dua hala dengan Jepun, Pakistan, India, New Zealand, Chile, Australia, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Di peringkat ASEAN pula, Malaysia turut terlibat secara aktif dalam FTA serantau melalui Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dengan China, Korea, Jepun, Australia, New Zealand dan India.

3. Insentif cukai menarik

Pelbagai insentif cukai yang kompetitif ditawarkan oleh Malaysia termasuk bagi sektor berimpak tinggi seperti teknologi, pembuatan, tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, elektrik dan elektronik, bioteknologi dan ekonomi digital.

Antaranya adalah insentif yang ditawarkan Malaysian Investment Development Authority (MIDA) iaitu insentif Status Perintis (PS) yang memberi pengecualian cukai sehingga 70 peratus kepada syarikat yang layak.

MIDA juga menawarkan Elaun Cukai Pelaburan (ITA) sehingga 60 peratus daripada perbelanjaan modal yang layak untuk pelaburan dalam projek baharu atau pengembangan perniagaan sedia ada.

Di samping itu, industri yang terlibat dalam teknologi tinggi, inovasi dan R&D juga berpeluang untuk mendapat pelepasan dan pengecualian cukai tambahan.

Lebih menarik, MIDA menyediakan geran kepada syarikat asing yang melabur di Malaysia, khasnya dalam bidang yang berkaitan dengan teknologi R&D dan inisiatif hijau.

4. Infrastruktur maju dan hab perindustrian lengkap

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Malaysia mempunyai infrastruktur bertaraf dunia iaitu dari lebuh raya dan sistem pengangkutan moden hinggalah pelabuhan serta lapangan terbang.

Selain itu, taman perindustrian yang lengkap, zon ekonomi khas, hab logistik, pusat data, dan kemudahan utiliti yang stabil menjadi tarikan untuk pelabur luar.

5. Tenaga kerja mahir dan boleh bertutur pelbagai bahasa

Salah satu faktor signifikan yang meningkatkan keyakinan pelabur ke Malaysia adalah tenaga kerja yang berpendidikan, mahir dan kompetitif. Kebanyakan pekerja juga boleh bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Ia merupakan satu kelebihan yang besar terutama kepada syarikat multinasional dalam komunikasi, perkhidmatan pelanggan dan operasi global.

Tambahan pula, Malaysia yang kini semakin terarah kepada pendidikan TVET turut dapat melahirkan bakat yang sentiasa relevan dengan keperluan industri.

Kredit: Imagefx

6. Ekonomi digital dan sektor teknologi yang pesat membangun

Seiring dengan perkembangan dunia moden yang menumpukan kepada dunia digital, Malaysia juga tidak ketinggalan. Hab ekonomi digital berkembang pesat dengan dipacu oleh inisiatif seperti Ekonomi MADANI, National Industry 4.0 Blueprint dan NIMP 2030.

Malah, pembangunan pusat data, hab AI, automasi industri, robotik dan e-dagang juga mewujudkan ekosistem teknologi yang progresif.

Dalam masa yang sama, sektor semikonduktor dan Elektrik dan Elektronik (E&E) turut menyaksikan perkembangan yang sangat memberangsangkan dalam rantaian nilai global.

7. Sokongan sehenti daripada MIDA

MIDA yang berperanan sebagai agensi utama pelaburan negara menyediakan perkhidmatan sehenti untuk mempermudahkan perjalanan pelaburan.

Ia melibatkan proses konsultasi awal, kelulusan projek, sokongan teknikal, insentif dan sehinggalah bantuan selepas pelaburan, sekaligus menjadikan Malaysia destinasi yang mesra pelabur dari seluruh dunia.

Perkara ini dapat dilihat menerusi penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC), dengan objektif utama untuk mempercepatkan proses pelbagai kelulusan.

Sejajar dengan aspirasi ekonomi MADANI, IMFC menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan kepada komuniti perniagaan dan pelabur, sekali gus mengurangkan birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Kos menjalankan perniagaan di Malaysia

Selain tujuh faktor itu, pelabur juga berminat ke Malaysia kerana kos buruh yang kompetitif. Kos tersebut dilihat lebih rendah berbanding ekonomi maju yang lain di Asia.

Dengan produktiviti buruh yang berkemahiran, ia menjadi nilai terbaik untuk pelabur.

Dalam pada itu, kos perniagaan tak langsung yang dapat dilihat menarik pelabur adalah berkaitan tahap kualiti hidup yang tinggi dan kepelbagaian budaya yang memudahkan syarikat asing untuk menetap di Malaysia.

Sebagai contoh, jika di negara seperti Singapura, syarikat perlu membayar gaji ekspatriat dengan harga yang lebih tinggi kerana kos sewa rumah, makan dan gaya hidup yang tinggi.

Di Malaysia pula, kos sara hidup lebih rendah dan kualiti hidup pula masih tinggi.

Sementara itu, kepelbagaian budaya menyebabkan pekerja asing cepat menyesuaikan diri, menyebabkan kos latihan atau orientasi lebih rendah.

Secara ringkasnya, Malaysia menawarkan peluang yang dinamik untuk syarikat asing melabur di sini. Dari faktor geografi hingga ke kualiti hidup, Malaysia menjadi salah satu sasaran utama untuk mereka mengembangkan pelaburan ke tahap terbaik. Dalam masa yang sama, Malaysia juga mendapat manfaat darinya.

Maklumat lanjut mengenai pelaburan di Malaysia boleh dilayari menerusi portal RAI yang dibangunkan oleh Jabatan Digital Negara (JDN).

Dirasmikan pada 17 Jun 2025 oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo, portal RAI ini dicipta khas untuk memudahkan bukan warganegara mengakses perkhidmatan digital dan maklumat mengenai Malaysia.

Selain pelaburan, mereka boleh mengakses maklumat mengenai kemasukan, lawatan, pelajaran, pekerjaan dan proses menetap di Malaysia.