Gambar: JadI Batek

Jadi Batek: Dari Perniagaan Keluarga Ke Pentas Warisan Moden Bertaraf Global

Iqbal Yasir

Jadi Batek: Dari Perniagaan Keluarga Ke Pentas Warisan Moden Bertaraf Global

Dari sebuah kedai kecil di Bukit Bintang pada tahun 1976, kini Jadi Batek berdiri megah sebagai antara galeri batik terbesar di Kuala Lumpur.

Di bawah teraju Colin Yong, Pengarah Urusan yang mewarisi perniagaan keluarga ini, batik bukan lagi sekadar seni kraf tradisi.

Ia berevolusi menjadi pengalaman budaya premium yang memikat pelancong dan korporat, sekali gus mengangkat seni batik Malaysia ke pentas dunia.

Latar Belakang Jadi Batek

Kisah Jadi Batek ini mengimbau semula perjalanan sepasang suami isteri, Thong Lai Ying dan Yong Jo yang mengusaha dan menjual batik buatan tangan pada tahun 1976.

Meskipun kedai kecil itu ‘tumbuh’ sejak era 70-an, namun ia sudah menjadi tumpuan pelancong yang ingin melihat seni halus batik Malaysia.

Jadi Batek warisan moden global
Gambar: Pengarah Urusan Colin Yong bersama beberapa hasil seni kraf tangan batik

Perniagaan itu kemudiannya dipegang oleh anak pasangan berkenaan, Colin Yong pada tahun 1999. Beliau melihat perniagaan yang diusahakan oleh ibu bapanya mempunyai potensi dalam dunia perniagaan termasuk pelancongan.

Beliau mengorak langkah lebih besar dengan membangunkan galeri seluas 30,000 kaki persegi di Jalan Inai, merangkumi ruang jualan, bengkel terbuka serta lokasi interaktif bagi pengunjung.

“Inspirasi saya jelas saya mahu batik Malaysia terus hidup, relevan, dan dekat dengan generasi masa kini, bukan hanya dianggap warisan lama,” katanya.

Batik Sebagai Gaya Hidup Moden

Jadi Batek warisan moden global

Matlamat utama Jadi Batek ialah menjadikan batik sebahagian daripada kehidupan moden.

Menurut Colin, beliau mahu orang ramai berasa bangga memakai batik ke pejabat, acara rasmi atau ketika bersantai selain memastikan seni kraf tangan ini tidak ditelan arus zaman.

Antara inisiatif yang diperkenalkan seperti kelas batik & kit DIY bertujuan mendekatkan proses pembuatan batik kepada generasi muda, selain melaksanakan rekaan kontemporari merangkumi baju kasual, beg, aksesori hingga uniform korporat.

Jadi Batek juga berkolaborasi dengan pereka fesyen, syarikat dan institusi pendidikan bagi membawa batik lebih dekat dengan masyarakat termasuk penggunaan platform digital serta media sosial untuk menonjolkan naratif baharu batik Malaysia.

Cabaran Batik Tradisional

Jadi Batek warisan moden global

Pun begitu, perjalanan memastikan sinar seni batik ini tidak terpadam ditiup angin moden bukanlah sesuatu yang mudah. Ditambah dengan teknologi dan perkembangan pesat dalam industri perniagaan.

“Cabaran paling besar ialah lambakan batik printing yang murah dan pantas. Ramai tidak nampak beza antara batik tangan dengan batik cetakan, sedangkan setiap helai batik tangan adalah karya seni unik,” jelas Colin.

Bagi beliau, keunikan batik Malaysia terletak pada motif besar dan warna cerah yang menyerlahkan identiti tempatan.

“Apabila seseorang membeli batik tangan, mereka bukan hanya membeli pakaian, tetapi sebahagian daripada budaya Malaysia.”

Bercerita lebih lanjut, Colin memberitahu perniagaan menekankan penggunaan fabrik semula jadi seperti kapas dan sutera serta pewarna mesra alam dalam setiap pembuatan, menjadikan salah satu keunikan dimiliki oleh Jadi Batek.

Kerjasama Strategik Dengan Klook Lonjak Seni Batik Negara

Gambar Colin Yong bersama penyanyi Jepun Tokiko Kato

Menerusi kerjasama erat bersama platform pelancongan digital, Klook membuka lembaran baharu untuk Jadi Batek dalam meneroka pasaran pelancongan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Melalui Klook, ramai pelancong antarabangsa yang tidak tahu tentang kami kini hadir ke galeri, menyertai kelas atau membeli produk,” katanya.

Tahun ini kerjasama itu menjadi lebih bermakna apabila Klook menyambut ulang tahun ke-11. Bagi Colin, ia seiring dengan aspirasi Jadi Batek untuk meraikan perjalanan panjang batik sebagai seni warisan, sambil melangkah ke fasa moden yang lebih segar.

“Seperti Klook yang meraikan 11 tahun membawa pengalaman unik ke seluruh dunia, kami di Jadi Batek juga ingin terus memastikan batik Malaysia kekal hidup dan diraikan sebagai pengalaman budaya yang tidak ternilai,” jelasnya.

Lebih bermakna buat dirinya apabila menerima respon positif daripada pelanggan. Antaranya termasuk ada pelancong dari Eropah menganggap pengalaman membuat batik di sini sebagai “highlight” lawatan mereka.

Manakala pengunjung dari Jepun menyifatkan hasil batik buatannya sebagai momen tidak ternilai bersama keluarga.

Batik Malaysia: Antara Tradisi & Inovasi

Bagi Colin, pelajaran terbesar dalam mengemudi Jadi Batek adalah mencari keseimbangan antara tradisi dan inovasi.

Namun, beliau yakin bahawa batik Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan warisan seni global lain pada masa akan datang.

“Jika hanya pegang pada cara lama, batik boleh hilang relevan. Tetapi jika terlalu mengejar trend moden, identiti batik boleh terhakis.

“Impian saya ialah melihat batik Malaysia dipamerkan di muzium dunia, dipakai di pentas fesyen antarabangsa, dan terus menjadi kebanggaan rakyat Malaysia,” luahnya.

Baginya, batik bukanlah sekadar kain bercorak, tetapi sebuah pengalaman seni, ruang ekspresi diri, dan cerita budaya yang patut diwarisi dan diraikan bersama.

Jadi Batek warisan moden global

“Ramai kata batik susah kerana ada lilin panas dan pewarna berlapis. Tapi bila cuba sendiri, mereka terkejut betapa seronoknya proses itu. Yang penting bukan hasil sempurna, tetapi pengalaman mencipta corak dengan tangan sendiri,” pesan Colin.

Untuk maklumat lanjut mengenai Jadi Batek boleh layari laman web rasmi di sini.

BACA JUGA: ITM 2025 Lonjak Malaysia Sebagai Hab Pelancongan Mesra Muslim Global