KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) — Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi menambah baik undang-undang syariah khususnya yang berkenaan dengan kesalahan jenayah syariah di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata langkah itu diambil susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan peruntukan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan pada Khamis lepas.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan penasihat undang-undang JAKIM bagi mendapatkan pandangan beliau berkenaan kesan dan implikasi perundangan yang berbangkit daripada keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut.
“Jawatankuasa tersebut akan berunding dengan negeri-negeri dan pihak yang berkepentingan dalam usaha untuk memperkasakan dan menyeragamkan undang-undang syariah di Malaysia,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata sehubungan itu, semua umat Islam di negara ini diminta menghormati penghakiman yang diputuskan dan tidak mencetuskan sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut.
Masyarakat juga, kata beliau, perlu bertenang dan tidak memberikan kenyataan atau pandangan yang boleh mencetuskan suasana yang tidak sihat serta menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.
“Marilah kita bersama-sama menginsafi diri dan berusaha untuk mengubah diri, keluarga dan masyarakat ke arah yang lebih baik, bagi memaknai erti sebenar etika dan moral berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
“Saya berdoa kepada Allah SWT agar kita diteguhkan dan terus bersatu padu dalam melaksanakan segala perintah-Nya,” katanya.
Dalam keputusan Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, panel sembilan hakim itu sebulat suara membenarkan permohonan seorang lelaki yang mencabar Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Peruntukan itu menetapkan adalah satu kesalahan jenayah bagi umat Islam di Selangor melakukan seks di luar tabii.
Lelaki itu menghadapi tuduhan berkaitan seksyen berkenaan di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.
Sumber: BERNAMA