Pengisytiharan darurat iklim di Selangor sedang dalam proses pertimbangan berdasarkan penelitian data serta kajian terperinci mengenai bencana yang dijalankan pakar terpilih, lapor Selangorkini.
Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, laporan penuh melibatkan kerjasama dua agensi pakar itu dijangka siap sepenuhnya sama ada hujung tahun ini atau awal tahun depan.
“Laporan awal sudah diterima. Darurat iklim antara dicadangkan tetapi kita tidak boleh umum tanpa data atau kajian dari pakar.
“Lepas terima laporan ini, kita fokus cara mengurus dan mengendalikan termasuk kawasan pantai yang mungkin terjejas teruk pada masa hadapan berikutan peningkatan paras air laut,” katanya, memetik Selangorkini.
Menurut Amirudin, penelitian data serta kajian terperinci itu dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama pihak Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun yang dimulakan sejak 2019.
YAB Dato’ Amirudin Shari | Kredit: Portal Rasmi Kerajaan Negeri SelangorAmirudin berkata demikian ketika ditemui pemberita Selangorkini semasa pelancaran buku mewah (coffee table book) Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada 13 September baru-baru ini.
Sebelum ini, terdapat permintaan daripada Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago terhadap pihak kerajaan negeri agar mengumumkan pengisytiharan darurat iklim.
Difahamkan, ia bertujuan agar rakyat boleh mengambil tindakan rintis untuk mengurangkan risiko bencana dan implikasi pasca bencana.
Imbas kembali, pada Ogos 2019, Amirudin memaklumkan bahawa kerajaan negeri bakal memiliki data bencana dan sistem pencegahan banjir serta tanah runtuh menerusi kajian yang dijalankan hasil kolaborasi bersama Universiti Tohoku, Jepun.
Difahamkan bahawa data tersebut mampu memberikan langkah pencegahan yang sesuai dan unit pengurusan bencana dapat melakukan persiapan awal dengan lebih berkesan dan mampan.
BACA JUGA: Kemarau Bakal ‘Serang’ Malaysia Menjelang 2025, Terengganu Dijangka Paling Teruk Terjejas?
Sumber: Selangorkini