
Kementerian Industri Utama telah menamatkan perkhidmatan Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai setiausaha sulit kanan (SUSK) kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkuat-kuasa 18 Jun 2019.
Tindakan itu dilakukan susulan pengakuan Haziq sebagai individu yang dirakam dalam klip video lucah yang tular bersama seorang lagi individu yang didakwanya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamad Azmin Ali.
Pada 11 Jun lalu, beberapa klip video tular memaparkan dua lelaki berada di atas katil dalam keadaan bogel melakukan aksi seksual. Seorang daripadanya didakwa kelihatan menyerupai menteri Kabinet.
Tampil membuat pengakuan, Haziq Abdullah telah bersumpah dalam satu rakaman video mengakui bahawa dia merupakan salah seorang daripada dua lelaki di dalam video seks yang tular tersebut.
Dia turut mendakwa seorang lagi individu yang bersama di dalam tersebut adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Azmin kemudian menafikan bahawa beliau terlibat dalam video seks dan menyifatkannya sebagai komplot dalaman yang berusaha menjatuhkan kerjaya politiknya. – Bernama