
Isu Ujian Keselamatan, Daihatsu Gantung Semua Pengeluaran Domestik
Subsidiari Toyota Motor Corporation, Daihatsu Motor Co Ltd telah menggantung semua pengeluaran domestik selepas terlibat dalam skandal pemalsuan ujian keselamatan, lapor AFP.
Menurut jurucakap Daihatsu, pihaknya membuat keputusan untuk menutup kilang domestiknya yang terakhir daripada empat buah yang ada berikutan dengan isu tersebut.
Jelasnya, penggantungan pengeluaran itu akan dilakukan hingga Januari dan ia menjejaskan kira-kira 9,000 pekerja.
“Pengeluaran akan digantung sehingga Januari. Kami belum dapat memastikan waktu yang tepat untuk menyambung semula pengeluaran domestik,” kata jurucakap itu kepada AFP pada Selasa.
Difahamkan, langkah tersebut juga boleh menjejaskan lebih 8,000 syarikat di seluruh negara.
Sebelum ini, syarikat tersebut menyatakan ia telah memanipulasi ujian keselamatan sejak sekitar tahun 1989.
Isu keselamatan itu telah ditemukan pada 64 model termasuk beberapa yang dijual di bawah jenama Toyota yang juga sedang digantung.
Pada April, syarikat itu mengakui telah memalsukan keputusan ujian kemalangan untuk keempat-empat modelnya, melibatkan sejumlah 88,000 kenderaan buatan Thailand dan Malaysia pada 2022 dan 2023.
Manakala pada Mei, ia juga menghentikan pengeluaran dua model kenderaan di Jepun kerana masalah keselamatan yang serupa termasuk SUV Toyota Raize yang dikeluarkan bagi pihak syarikat induknya.
Terdahulu, Daihatsu telah mentauliahkan siasatan kepada jawatankuasa pihak ketiga bebas berhubung isu prosedur dan mendapati masalah pada 174 item dalam 25 kategori ujian, di samping ketidakteraturan lapisan pintu pada April termasuk semasa ujian perlanggaran sisi pada Mei lepas.
Pengeluar kereta itu melalui satu kenyataan berkata ini merangkumi sejumlah 64 model serta tiga enjin kenderaan daripada keseluruhan model yang sedang dihasilkan, dibangunkan atau dihentikan pengeluaran termasuk 22 model dan satu enjin yang dijual oleh Toyota.
Terkenal dengan pembuatan enjin pembakaran dalaman, Daihatsu telah ditubuhkan pada 1907 dan syarikat yang berpangkalan di Osaka itu telah melancarkan kenderaan tiga roda pertamanya pada 1931, sebelum diambil alih oleh Toyota pada 1967.
Sumber: AFP