STR Singapura
Gambar: Facebook Liew Chin Tong

Isu STR Melibatkan Warga Malaysia Yang Keluar Masuk Singapura

Hannah

Isu STR Melibatkan Warga Malaysia Yang Keluar Masuk Singapura

Kerajaan menegaskan bahawa hanya warganegara Malaysia yang benar-benar memenuhi syarat kelayakan, termasuk menetap di dalam negara, layak menerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kata Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.

Menurut beliau, isu kelayakan STR bagi rakyat Malaysia yang kerap keluar masuk Singapura sering dibangkitkan. Ini khususnya oleh penduduk di Johor Bahru yang berulang-alik ke situ atas pelbagai urusan.

Liew menjelaskan bahawa STR merupakan inisiatif bantuan tunai bersasar berteraskan prinsip "kita jaga kita". Ia diwujudkan khusus untuk membantu warganegara Malaysia yang menetap dan memerlukan sokongan kewangan di dalam negara.

"Pada masa yang sama, kerajaan bertanggungjawab kepada semua rakyat Malaysia, termasuk pembayar cukai, untuk menjamin keadilan untuk semua.

"Bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima bantuan STR, semakan dibuat dengan integrasi data yang lebih menyeluruh melibatkan pelbagai agensi, termasuk Imigresen, bagi tujuan pengesahan maklumat.

"Hanya warganegara yang memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan sahaja, termasuk menetap di Malaysia, berhak menerima bantuan. Penyaluran STR dikendalikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN)," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan bantuan disalurkan secara adil, tepat sasaran dan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Layakkah warga Malaysia yang keluar masuk Singapura mendapat STR?

Mengulas dakwaan bahawa kelayakan STR dibatalkan bagi warga Malaysia yang kerap keluar masuk Singapura, beliau menjelaskan bahawa permohonan tersebut sebenarnya bukan dibatalkan, sebaliknya berstatus "Tidak Lulus" di bawah Kod Alasan 31.

"Sehubungan itu, apabila timbul isu kelayakan STR 'dibatalkan' untuk warga Malaysia yang kerap keluar masuk Singapura, ia sebenarnya tidak dibatalkan tetapi berstatus 'Tidak Lulus' (di bawah Kod Alasan 31), iaitu pemohon atau pasangan menetap, bekerja, atau mengikuti pengajian di luar negara.

"Ini bermakna warga Malaysia yang keluar dan masuk Singapura 8 kali dan lebih setiap bulan ditafsirkan sebagai bekerja di luar negara, dengan andaian individu itu berulang-alik setiap minggu," jelas beliau.

Garis panduan kekerapan perjalanan

Bagi membezakan antara urusan sementara dan situasi menetap atau bekerja di luar negara, Liew menjelaskan bahawa LHDN menggunakan garis panduan berikut:

  • 1 hingga 7 kali sebulan: Masih dianggap sebagai urusan biasa dan munasabah, seperti rawatan perubatan, kecemasan, tugasan jangka pendek atau urusan keluarga.

  • 8 kali dan ke atas sebulan: Ditafsirkan sebagai tempoh signifikan berada di luar negara.

Kerajaan terbuka terima rayuan

Walaupun dasar ini dilaksanakan bagi memastikan ketelusan, Liew menegaskan bahawa Kerajaan Madani sentiasa prihatin terhadap maklum balas rakyat dan terbuka untuk mempertimbangkan rayuan.

"Sebagai contoh, memang ada warganegara Malaysia yang perlu kerap keluar dan masuk Singapura kerana beliau bekerja sebagai pemandu bagi syarikat logistik tempatan," katanya.

Sehubungan itu, warga Malaysia yang terkesan dengan pelaksanaan dasar ini digalakkan untuk mengemukakan rayuan, yang dibuka sepanjang tahun 2026.