PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) — Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) memberi amaran keras kepada pengurusan sebuah pasaraya berhubung penjualan sarung kaki tertera kalimah Allah, supaya isu melibatkan sensitiviti keagamaan tidak berulang lagi.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya mengadakan pertemuan bersama pengerusi eksekutif kumpulan pasaraya itu semalam.
Hakimah berkata dalam pertemuan tersebut, pihak syarikat juga telah memberi penjelasan mengenai isu penjualan sarung kaki tertera kalimah Allah seperti yang tular baru-baru ini, dan langkah-langkah untuk mengelakkan isu seumpama itu berulang.
“Pihak pasaraya itu juga bersetuju untuk mengkaji dan mengemas kini Prosedur Operasi Standard syarikat,” katanya.
Beliau berkata JAKIM menyokong tindakan pihak Polis Diraja Malaysia yang telah membuka kertas siasatan terhadap isu penjualan sarung kaki tertera kalimah Allah yang tular baru-baru ini.
Hakimah berkata JAKIM sebagai institusi yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan memandang serius terhadap isu tersebut kerana ia bukan sahaja melibatkan sensitiviti keagamaan malahan boleh menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.
“JAKIM memberi peringatan kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini.
“Dalam masa yang sama, semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu lama yang menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum) dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya.
BACA: Sarung Kaki Tertera Kalimah Allah: Agong Murka, Titah Tindakan Keras
Sumber: BERNAMA