Gambar: Bernama

Isu Penguatkuasaan SOP: Tiada “Double Standard” & Siapa Pun Yang Melanggarnya Akan Dikenakan Tindakan Undang-undang

Nur Adnin

PUTRAJAYA, 30 Mac – Tiada seorang pun rakyat di negara ini yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang, tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebaliknya, semua tindakan rakyat adalah tertakluk kepada undang-undang dan sesiapa sahaja yang didakwa melanggarnya, mereka pasti akan dikenakan tindakan.

Bagaimanapun jelasnya, tindakan penguatkuasaan dan undang-undang hanya akan dijalankan di bawah kuasa pihak berkuasa.

“Kerajaan menyediakan peraturan-peraturan, hukuman-hukuman, kompaun dan sebagainya (adalah) berdasarkan kesalahan yang dilakukan, tetapi tindakan penguatkuasaan adalah (pada) pihak polis atau jabatan kesihatan atau sesiapa sahaja yang diberikan kuasa di bawah Akta 342 (Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit).

“Jadi kalau ada kes, tidak kiralah melibatkan selebriti ke melibatkan sesiapa je, kalau ada kes yang berlaku, kita tahu kes itu berlaku, (maka) lapor kepada polis. Maka polis akan ambil tindakan,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Dalam pada itu, Ismail menjelaskan, sekiranya pihaknya menerima sebarang laporan daripada orang awam mengenai isu tular tentang perlanggaran prosedur operasi standard (SOP), maka beliau akan melaporkannya kembali kepada pihak polis kerana tindakan penguatkuasaan bukan di tangannya, tetapi badan berkuasa itu.

“Walau apa pun terima kasih banyak kepada orang ramai kerana sentiasa hantar kes-kes kepada saya, kes melibatkan perlanggaran SOP dan saya terus ‘forward’ kepada pihak polis untuk ambil tindakan.

“Dan terserah kepada pihak polis untuk teruskan tindakan atau tidak,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan pemberita mengenai isu-isu tular di media sosial yang didakwa melanggar SOP seperti yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Sumber: RTM