
Isu Pajakan Pulau Pinang: Kedah Sedang Muktamadkan Proses Undang-Undang
Kerajaan negeri Kedah kini dalam peringkat untuk memuktamadkan pelantikan peguam bagi melaksanakan analisis penyediaan dokumen serta proses perundangan di mahkamah berhubung isu kedudukan negeri itu dengan Pulau Pinang.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri telah melantik penyelidik yang terdiri daripada pakar-pakar sejarah dan perundangan berhubung isu itu dan kajian mereka telah pun selesai.
“Pada 15 April 2025, pasukan ini telah membentangkan laporan akhir kajian mereka kepada Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli Parlimen berkaitan isu tersebut,” katanya
Menurutnya lagi, perkembangan seterusnya akan diumumkan dalam tempoh sebulan dua lagi.
Beliau memaklumkan mengenai perkara itu ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman pada Isnin.
“Kerajaan Negeri menjunjung setinggi-tinggi titah Sultan Kedah, KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Salehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di atas perhatian Tuanku terhadap keperluan penjelasan berhubung isu semasa dan aspek sejarah yang berkaitan dengan hubungan Pulau Pinang serta Negeri Kedah.
“Kerajaan Negeri juga menegaskan bahawa segala perbincangan berkaitan isu ini mesti berdiri atas fakta sejarah, rekod rasmi dan perundangan yang akan dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya.
Sumber: Muhammad Sanuari Md Nor