KUALA LUMPUR, 28 Sept – Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa menuntut penjelasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berikutan penukaran nama jalan Jalan Raja Laut 1 ke Jalan Palestin semalam.
Menurut ciapannya di Twitter, beliau difahamkan tiada masalah berkenaan hal itu kerana ianya atas dasar solidariti kemanusiaan.
“Saya tiada halangan nak namakan jalan di Kuala Lumpur (sebagai) Jalan Palestine, tanda sokongan KL kepada perjuangan pembebasan Al-Quds.
“Namun saya mahukan penjelasan kenapa pilih tukar nama Jalan Raja Laut (1), nama besar sejarah Melayu dan KL.
“Kenapa tidak tukar nama Inggeris seperti Jalan Stonor, Jalan Conlay, Cochrane Road dan lain-lain,” kata kenyataan tersebut, malam tadi.
Mengimbas kembali, semalam Jalan Raja Laut 1 secara rasminya ditukar namannya kepada Jalan Palestin.
“Menamakan Jalan Palestin itu sebagai simbol sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin dalam menentang penindasan dan seterusnya menubuhkan sebuah negara Palestin,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, memetik laporan BERNAMA semalam.
Katanya, proses untuk mengenal pasti jalan yang sesuai sebagai Jalan Palestin mengambil masa agak lama kerana perlu dibuat secara teliti dan perlu melalui prosedur ditetapkan sepertimana penamaan jalan-jalan lain.
Sumber: Twitter Tan Sri Annuar Musa, BERNAMA