PUTRAJAYA, 23 Julai – Kerajaan menafikan dakwaan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 digunakan bagi menyekat kebebasan peribadi individu di media sosial.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau hanya menerangkan tentang undang-undang sedia ada, iaitu akta tersebut yang telah pun digunakan sejak zaman pentadbiran kerajaan-kerajaan terdahulu.
“KKMM sedia sedar bahawa akta ini perlu penambahbaikan. Ini telah pun saya nyatakan dalam sidang media Kad Laporan 100 Hari saya sebagai Menteri KKMM pada 20 Jun lalu, iaitu KKMM sedang menilai semula semua undang-undang di bawah pengawasannya.
“Oleh yang demikian, kami di KKMM terbuka untuk menerima apa-apa cadangan dalam memperbaiki bukan sahaja akta yang dibahaskan pagi tadi, malah semua undang-undang yang di bawah pengawasan KKMM supaya bersesuaian dengan kehendak semasa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab isu tular berkaitan keperluan lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) untuk perfileman seperti yang dibahaskan dalam Dewan Rakyat pagi tadi.
Jelas Saifuddin, sebahagian laporan yang tular tersebut memberi gambaran yang tidak tepat sehingga membawa kepada makna yang berbeza daripada kenyataan asalnya.

Sumber: KKMM