isu kehakiman rafizi ramli
Kredit: Rafizi Ramli

Isu Kehakiman: Rafizi & 8 Ahli Parlimen PKR Desak Tubuh RCI

Sofea

Isu Kehakiman: Rafizi & 8 Ahli Parlimen PKR Desak Tubuh RCI

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan lapan lagi ahli parlimen PKR mendesak agar siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan-dakwaan yang berlegar mengenai isu kehakiman.

Dalam satu sidang media yang diadakan pada Isnin, Rafizi berkata gesaan dilakukan selepas berlegar maklumat-maklumat berkaitan kehakiman yang memerlukan penjelasan dari pihak kerajaan.

Salah satu darinya adalah mengenai pelantikan hakim-hakim baharu, sama ada bagi Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Pencalonan yang telah dihantar oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) kepada kerajaan tidak diambil tindakan pada kadar yang sewajarnya, yang menyebabkan kekosongan menjadi mendesak,” katanya.

Selain itu, menurutnya, pencalonan bagi kekosongan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan telah pun diputuskan oleh JAC sebelum persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat kepada Perdana Menteri sebelum ini. Bagaimanapun, pelantikan tersebut tidak dibuat sehinggalah menyebabkan kekosongan yang ada ketika ini.

“Ketiga, mesyuarat JAC telah dipanggil pada hari Jumaat lepas tanpa mematuhi keperluan notis 10 hari, dengan tujuan untuk membuat pencalonan semula bagi jawatan-jawatan yang kosong.

“Keempat, pada satu mesyuarat JAC yang lepas, seorang Hakim Mahkamah Persekutuan telah dipanggil untuk memberi penjelasan mengenai tuduhan cuba mempengaruhi keputusan satu kes dan pertukaran hakim,” katanya.

BACA JUGA: Rafizi Ramli Masuk Ke Pejabat Buat Kali Terakhir Hari Ini

Ujarnya, perkara keempat telah disahkan apabila satu laporan polis dibuat oleh pegawai Hakim Mahkamah Persekutuan tersebut dan kini dalam pengetahuan awam.

Menurut Rafizi, kontroversi berhubung institusi kehakiman ini masih belum ada jawapan atau hala tuju yang memuaskan dari pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat ini.

“Sebagai Ahli Parlimen, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mempertahankan kebebasan institusi kehakiman dan pengasingan kuasa di antara tiga cabang kerajaan iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman.

“Apatah lagi, mempertahankan kebebasan institusi kehakiman adalah salah satu tonggak utama perjuangan Keadilandan Pakatan Harapan,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi dan ahli parlimen lain juga memohon secara rasmi agar satu prosiding dan siasatan dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ( Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi), termasuk memanggil Perdana Menteri untuk memberi keterangan.

“Parlimen Malaysia, sebagai cabang perundangan yang bebas, perlu memainkan peranan yang utama dalam melindungi kebebasan institusi kehakiman.

“Kami akan menulis secara rasmi kepada Pengerusi JKPK, William Leong dan setiap anggota JKPK,” katanya.

Sumber: Rafizi Ramli