Isu Gangguan Seksual, Ugut Doktor Pelatih di HRPB, KKM Jalankan Siasatan
Siasatan menyeluruh akan djalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan dakwaan berlakunya gangguan seksual dan ugutan terhadap doktor pelatih, lapor Sinar Harian.
Kejadian tersebut dipercayai dilakukan oleh seorang doktor di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, satu Jawatankuasa Penyiasatan Bebas telah ditubuhkan untuk menyiasat perkara terbabit pada 29 Februari lalu.
“Keahlian jawatankuasa berkenaan dianggotai pegawai-pegawai yang turut dilantik Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan kementerian
“Siasatan kini sedang dilaksanakan dengan pengumpulan bukti-bukti,” katanya seperti dilaporkan dalam Sinar Harian menerusi kenyataan hari ini.
Aduan kes berkenaan diterima pihaknya melalui satu surat layang yang dihantar melalui pos, pada 28 Februari lalu.
Tambah Dr Feisul Idzwan lagi, tuduhan yang tular di media sosial itu adalah serius dan KKM tidak akan berkompromi dengan mengenakan tindakan tegas mengikut peruntukan perundangan sekiranya terbukti benar.
“KKM memandang pertuduhan ini sebagai sangat serius dan mempunyai toleransi sifar terhadap gangguan seksual di tempat kerja,” jelasnya.
Menerusi surat layang yang dikongsi di media sosial mendakwa, seorang doktor lelaki didakwa telah mengganggu secara seksual beberapa doktor pelatih wanita termasuk bercakap lucah.
Sinar Harian berkata, kejadian berkenaan dipercayai sudah lama berlaku, namun perkara tersebut tidak dilaporkan. Hal ini kerana mangsa takut dengan ugutan yang diberikan doktor berkenaan.
Antara ugutan tersebut termasuklah memanjangkan tempoh ‘tagging’ dan latihan selain akan dilabel sebagai pelatih bermasalah.
BACA: Gajah Cedera Dirempuh Porsche Cayenne Di Setiu
Sumber: Sinar Harian