Jakarta – Ketua Staf Kepresidenan Indonesia, Moeldoko memberitahu negara berkenaan tidak akan mencampuri konflik antara etnik Uighur dengan kerajaan China.
Menyifatkan konflik itu sebagai isu dalaman negara, Moeldoko berkata, setiap negara mempunyai hak untuk menguruskan rakyat masing-masing, katanya semalam seperti dilaporkan The Jakarta Post.
“Setiap negara mempunyai hak daulat untuk menguruskan rakyat masing-masing, jadi kerajaan Indonesia tidak akan mencampuri urusan dalaman China,” katanya di pejabatnya di Jakarta.
Beijing sebelum ini menafikan sebarang penindasan terhadap etnik minoriti Uighur.

Indonesia perlu tegas
Pengerusi Muhammadiyah, Haedar Nashir sebelum ini menegaskan kerajaan perlu adil walaupun menyebabkan hubungan dengan negara lain menjadi rumit.
Jika ada diskriminasi berlaku, Indonesia patut bertindak mengikut mandat Perlembagaan 1945 untuk memastikan keamanan dunia berdasarkan kemerdekaan dan keadilan sosial, kata Haedar mewakili organisasi Islam tersebut.
“Kami minta Indonesia untuk mengambil pendirian tegas,” katanya di Jogjakarta pada Ahad lalu.
Walaubagaimanapun, Moeldoko menyatakan kerajaan akan terus menolak dari campur tangan.
“Saya fikir ia diterima secara antarabangsa untuk tidak melibatkan diri dalam urusan negara lain,” katanya.
Sumber: The Jakarta Post