mizz nina terima anugerah
Kredit: Instagram Myjakim

Istiqamah Di Lapangan, Mizz Nina Terima Anugerah Ikon Aktivis Kemanusiaan

Nurhanis

Diketahui sering aktif sertai aktiviti sukarelawan, penyanyi Mizz Nina terima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 14444H/2022M bagi kategori Ikon Aktivis Kemanusiaan hari ini.

Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman mula bergiat aktif menyertai aktiviti dakwah dan misi kemanusiaan selepas beliau memutuskan untuk membuat penghijrahan dalam hidupnya beberapa tahun dahulu.

Menerusi laman Instagram rasmi Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Mizz Nina merupakan antara individu yang tersenarai menerima anugerah yang disampaikan pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan hari ini.

Turut menerima anugerah bagi kategori Ikon Sains dan Peradaban iaalah Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya Prof Datuk Dr Azizah Baharudin.

Selain itu, Penerbit Eksekutif (Pengisian Kandungan Islam) Penyiaran Televisyen TV3 & TV9 Ahmad Noor Sulaiman dianugerahkan Ikon Media Islam dan Pengerusi Yayasan Zikay Datuk Mohd Khay Ibrahim sebagai Ikon Korporat Islam.

Sementara itu, seorang wanita berbangsa Cina Chee Hoi Lan turut menerima anugerah bagi kategori Ikon Ibu Sejati Keluarga Malaysia atas jasa dan tanggungjawab menjaga, membesar dan mendidik anak angkat beragama Islam.

Anugerah itu turut disampaikan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Tangkap Layar Instagram

Meninjau di laman Instagram Mizz Nina, beliau dilihat turut memuat naik semula ucapan yang dibuat oleh peminat dan sahabat terdekat mengenai anugerah itu menerusi ruangan InstaStory.

Penghijrahan Mizz Nina

Pada awalnya, Mizz Nina sangat terkenal dengan lagu-lagu bergenre R&B dan pop bermula era 2000 seperti Dooit dalam album How’s The Level bersama Teh Tarik Crew (2000), Goodvibes (2004), What You Waiting For (2010) dan lain-lain.

Namun apabila beliau mengambil keputusan drastik untuk berhijrah, ramai pihak tidak menyangka tapi mereka khususnya peminat tetap memberi sokongan supaya dirinya istiqomah sepanjang penghijrahannya.

Mengimbas kembali satu sisi sejarahnya, beliau mendedahkan ketika berusia 29 tahun, dirinya tidak tahu membaca Iqra namun tetap berusaha belajar mengenai Al-Quran secara perlahan-lahan.

Beliau mula berhijrah sepenuhnya pada 2013 dan pada ketika itu baru dirinya mahir membaca kitab suci tersebut, malah turut berpeluang mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah seawal usia 33 tahun.

Mizz Nina mengambil peluang itu untuk mendalami agama Islam dengan belajar mengaji, menghadiri ceramah dan kelas-kelas agama yang lain.

Kredit: Cinta Syria Malaysia

Sehingga kini beliau dilihat aktif melakukan kerja-kerja sukarelawan terutama sekali menjalankan misi kemanusiaan di Syria, selain turut dijemput ke pentas majlis ilmu sebagai salah seorang penyampai inspirasi.

Sumber: Instagram / myjakim