‘Isteri Menjerit Minta Tolong, Sebelum Dia Senyap’ – Suami Mangsa
“Dia (mangsa) menjerit meminta tolong selepas terjatuh sebelum terus senyap tidak lama kemudian.”
Menurut Sinar Harian, itulah kata suami kepada wanita warga India yang terjatuh dan tertimbus ke dalam lubang benam berhampiran Masjid India di sini, pada Jumaat.
Lelaki berusia 40-an itu pada mulanya kelihatan agak keberatan untuk menceritakan dengan lebih lanjut berhubung kejadian yang menimpa isterinya, sekaligus mengalami kesukaran untuk berkomunikasi.
Kira-kira jam 3 petang, usaha mencari dan menyelamat (SAR) yang sudah masuk hampir tujuh jam diteruskan dengan menggunakan jengkaut.
Difahamkan, ianya bertujuan untuk membesarkan lubang benam berkenaan untuk memudahkan tugas pasukan penyelamat.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan berkata, pihaknya masih dalam proses melengkapkan maklumat berkaitan kejadian terbabit.
Dalam pada itu, pihaknya juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan terbabit.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan, setakat ini pihak mereka tidak boleh komen lebih terperinci kerana ia masih dalam siasatan.
Turut terlibat ialah Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan anggota bomba yang giat melaksanakan kerja menyelamat di lokasi kejadian.
Kata Sulizmie, setakat ini kawasan itu masih dianggap selamat, namun perbincangan lanjut akan diadakan bagi mempertimbangkan sekiranya terdapat keperluan untuk menutup kawasan itu.
BACA: Mendapan Pernah Berlaku Di Lokasi Sama Insiden Tanah Jerlus – Polis KL
Sumber: Sinar Harian