Gambar sekadar hiasan

Isteri Maut, Tiga Cedera Dua Motosikal Langgar Pokok Tumbang

Sha Rossa

Kuantan: Seorang isteri maut manakala suaminya dan dua lagi remaja lelaki cedera dalam kemalangan melibatkan dua motosikal yang ditunggangi mereka melanggar pokok tumbang di Jalan Belimbing, Maran dekat sini, tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata dalam kejadian pada 1.30 pagi itu, mangsa yang maut ialah Nor Farisnazira Mohd Zulnorisham, 21, yang membonceng motosikal Yamaha Avantiz ditunggangi suaminya Mohamad Helmi Ashraf Mohd Lela, 23, yang cedera di kaki kanan.

Dua lagi mangsa ialah Muhammad Abdul Fatah Kaha, 18, yang menunggang motosikal Honda Ex-5 bersama rakannya Muhammad Nazrul Hakim Aminuddin, 17, dengan kedua-duanya cedera di muka dan badan.

“Kedua-dua motosikal itu dipercayai dari arah Maran menghala ke Kuantan semasa kejadian berlaku, dengan motosikal wanita dan suaminya itu telah melanggar penghadang besi jalan akibat perlanggaran tersebut,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata bedah siasat ke atas mangsa mengesahkan punca kematiannya adalah disebabkan kecederaan parah di kepala, manakala tiga mangsa yang lain dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, kira-kira 130 kilometer dari sini.

— BERNAMA