KUALA PILAH – Seorang wanita berusia 35 tahun maut akibat motosikal yang diboncengnya bersama suami terbabas dipercayai terlanggar seekor babi semasa dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum terbabas di Kilometer 2 Jalan Air Mawang-Renggoh pagi tadi, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8:15 pagi itu, mangsa membonceng motosikal jenis Suzuki Smash yang ditunggang oleh suaminya.
Wanita tersebut maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di bahagian kepala, termasuk suaminya yang juga mengalami cedera parah di kepala telah dibawa ke Hospital Tampin.
Pasangan suami isteri tersebut dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Melekai, Johol menuju ke tempat kerja di kedai makan di Kampung Air Mawang.
Menurutnya lagi, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Pilah untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Sinar Online