Isteri Jaga Suami Lumpuh: Zakat Pahang Dah Jumpa, Bantuan Kewangan Diluluskan
Siakap Keli sebelum ini ada melaporkan kisah seorang isteri yang berkorban dan setia menjaga suaminya akibat lumpuh. Berita berkenaan turut mendapat respon daripada pihak Zakat Negeri Pahang melalui satu hantaran di laman facebooknya, Pusat Kutipan Zakat Pahang.
Melalui hantaran tersebut, pihak zakat memaklumkan pihaknya sedia maklum dengan situasi yang dialami oleh pasangan tersebut dan telahpun menyantuni keluarga berkenaan semalam.
“Berkenaan isu viral ini. Alhamdulillah, semalam Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) telah menziarahi En Mohd Hairol Yusof, suami kepada Puan Rozilawati Ismail, yang terpaksa berhenti kerja sebagai pengutip buah sawit di Felda Bukit Goh, Kuantan selepas tahap kesihatannya kian merosot.
“Bantuan bulanan telah diluluskan, dan bantuan segera telah diserahkan semalam. Terima kasih pembayar zakat!,” jelas Pusat Kutipan Zakat Pahang dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, Mohd Hairol Yusof, 43, suami kepada Rozilawati Ismail, 42, terpaksa berhenti kerja sebagai pengutip buah sawit di Felda Bukit Goh, Kuantan selepas tahap kesihatannya kian merosot, lapor Sinar Harian.
Memetik laporan Siakap Keli sebelum ini, suaminya sering mengadu sukar untuk mengangkat tangannya ketika solat. Oleh itu, dia segara dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
“Hasil pemeriksaan doktor, terdapat darah beku pada otaknya dan doktor segera melakukan pembedahan dua minggu lalu,” kata Rozilawati sewaktu ditemui di rumah pada Isnin lalu oleh Sinar Harian.
Tambah Rozilawati, sebelum ini Hairol juga pernah beberapa kali mengadu dirinya mengalami sakit kepala tetapi dia tidak terfikir bahawa perkara itu semakin parah.
Difahamkan, Rozilawati sebelum ini mencari rezeki menyara dengan bekerja sebagai pembantu kantin di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah.
Bagaimanapun wanita itu akhirnya terpaksa membuat keputusan berhenti kerja demi untuk menjaga suaminya yang terlantar sakit di rumah hingga menyebabkan terputus sumber pendapatan.
BACA JUGA: Suami Lumpuh Strok, Isteri Hilang Kerja Rayu Bantuan Ringankan Beban
Sumber: Pusat Kutipan Zakat Pahang