israel buka perdagangan
Kredit: OMAR AL-QATTAA / AFP

Israel Akan Buka Semula Sebahagian Perdagangan Sektor Swasta Ke Gaza

Sofea

Israel Akan Buka Semula Sebahagian Perdagangan Sektor Swasta Ke Gaza

Israel akan mula membuka semula perdagangan sektor swasta ke Gaza secara terhad dalam usaha mengurangkan kebergantungan wilayah itu terhadap bantuan kemanusiaan, menurut kenyataan agensi hal ehwal awam Kementerian Pertahanan Israel untuk wilayah Palestin pada Selasa.

“Sebagai sebahagian daripada penyediaan mekanisme baharu ini, sebilangan kecil peniaga tempatan telah diberi kelulusan oleh pihak pertahanan, tertakluk kepada beberapa kriteria dan saringan keselamatan yang ketat,” kata Unit Penyelarasan Aktiviti Kerajaan di Wilayah (COGAT).

Israel telah mengenakan sekatan penuh di Palestin bermula 2 Mac lalu. Sekatan itu kemudian dilonggarkan pada Mei untuk membolehkan sebuah agensi swasta yang disokong Amerika Syarikat membuka pusat agihan makanan, lapor AFP.

BACA JUGA: Krisis Kebuluran Di Gaza Semakin Kritikal, Lagi 10 Kematian Dicatat Dalam Tempoh 24 Jam

Sementara itu, konvoi bantuan dan penghantaran udara oleh tentera Arab serta Eropah telah disambung semula bulan lalu, susulan laporan pakar yang dilantik PBB memberi amaran bahawa kebuluran sedang berlaku di wilayah bergolak itu.

COGAT menjelaskan bahawa penghantaran sektor swasta akan dibayar melalui pindahan wang yang dipantau dan akan diperiksa oleh tentera Israel sebelum memasuki Gaza.

Antara barangan yang dibenarkan dalam mekanisme baharu ini termasuk barang makanan asas, buah-buahan, sayur-sayuran, susu formula bayi dan produk kebersihan.

Sumber: AFP