Iran Kaji Semula Undang-Undang Wajib Pemakaian Hijab
Undang-undang mewajibkan wanita memakai hijab di Iran sejak berpuluh tahun lalu dilapor akan dikaji semula ketika negara itu bergelut dengan tunjuk perasaan yang dikaitkan dengan kod berpakaian, kata pihak berkuasa Iran.
Peguam Negara Iran Mohammad Jafar Montazeri memaklumkan perkara itu sedang dilihat kembali, sama ada memerlukan sebarang perubahan atau pun tidak, ia akan ditetapkan oleh parlimen dan badan kehakiman.
“Kedua-dua parlimen dan badan kehakiman sedang mengusahakannya (mengenai isu itu),” katanya kepada media pada Sabtu baru-baru ini.
Namun, Mohammad Jafar tidak menyatakan perubahan apa yang akan dilakukan dalam undang-undang oleh kedua-dua badan itu yang berada di tangan konservatif.
Pada Rabu lalu, pasukan penyemakan bersama suruhanjaya kebudayaan parlimen bermesyuarat dan akan menyemak keputusan dalam tempoh seminggu atau dua minggu.
Sementara itu, Presiden Iran Ebrahim Raisi berkata yayasan republik dan Islam Iran telah berakar umbi secara perlembagaan.
“Tetapi ada kaedah pelaksanaan perlembagaan Iran yang boleh menjadi fleksibel,” ujarnya dalam komen di televisyen pada Sabtu.
Permulaan protes
Difahamkan, siri protes bermula pada 16 September lalu selepas berlaku kes kematian dalam tahanan melibatkan individu bernama Mahsa Amini yang berusia 22 tahun.
Wanita yang berasal daripada puak Kurdish itu ditangkap oleh polis moral kerana didakwa melanggar undang-undang berasaskan syariah.
Oleh itu, ia mendorong kepada gelombang tunjuk perasaan di mana rakyat bertindak untuk membakar penutup kepala mereka dan menjerit slogan anti-kerajaan.
Selepas kematian Amini, ramai wanita menanggalkan hijab terutamanya di utara Tehran yang merupakan tempat orang-orang berfesyen dan bergaya.
Pertubuhan bukan kerajaan Irnan Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Oslo berkata, sekurang-kurangnya 558 orang dibunuh oleh pasukan keselamatan dalam tunjuk perasaan yang berterusan di seluruh negara.
Ketua Hak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Volker Turk memaklumkan, pada minggu lalu seramai 14,000 orang termasuk kanak-kanak telah ditangkap dalam tindakan keras protes itu.
Sejarah kewajiban memakai hijab
Imbas kembali pada April 1983, undang-undang mewajibkan wanita memakai hijab mula dikuatkuasakan, iaitu empat tahun selepas Revolusi Islam Iran yang menggulingkan kerajaan beraja Amerika Syarikat.
Tetapi ia kekal menjadi isu yang sangat sensitif di negara konservatif berkenaan yang menegaskan bahawa ia mesti diwajibkan, manakala parti reformis mahu menyerahkannya (pemakaian hijab) kepada pilihan individu.
Pada Julai tahun ini, seorang ultra-konservatif dikenali sebagai Raisi menggesa untuk menggerakkan semua institusi negara menguatkuasakan undang-undang bertudung, namun parti reformis utama Iran pula menggesa ia dibatalkan pada September.
Selain itu, Kesatuan Parti Rakyat Iran Islam yang dibentuk oleh saudara-mara bekas presiden reformis Mohammad Khatami menuntut pihak berkuasa menyediakan elemen undang-undang yang membuka jalan bagi pembatalan pemakaian wajib hijab.
Kumpulan pembangkang juga menyeru agar republik Islam itu mengumumkan secara rasmi penamatan aktiviti polis moral dan membenarkan demonstrasi dilakukan secara aman.
Sumber: The Guardian