
Iran Berdepan Kemungkinan Dilarang Sertai Piala Dunia FIFA 2026
Iran kini berdepan kemungkinan digantung daripada menyertai Piala Dunia FIFA 2026 susulan ketegangan yang semakin memuncak dengan Amerika Syarikat (AS), salah satu tuan rumah kejohanan tersebut.
Sebagai makluman, edisi Piala Dunia 2026 akan dianjurkan secara bersama oleh AS, Mexico dan Kanada pada tahun hadapan.
Daripada keseluruhan 104 perlawanan yang dijadualkan, sebanyak 78 daripadanya akan berlangsung di AS, negara yang kini terlibat secara langsung dalam konflik bersenjata di Timur Tengah.
Iran merupakan pasukan keenam yang layak ke Piala Dunia 2026, dan pasukan kedua dari Asia selepas Jepun.
Namun begitu, sejarah membuktikan bahawa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap negara yang terlibat dalam konflik ketenteraan.
Sebagai contoh, Rusia telah digantung daripada kejohanan FIFA berikutan pencerobohan ke atas Ukraine.
Begitu juga dengan Yugoslavia yang disingkirkan daripada kelayakan Piala Dunia pada awal 1990-an akibat pergolakan di Bosnia-Herzegovina.
Memandangkan situasi di Timur Tengah semakin meruncing, harapan untuk melihat skuad Iran beraksi di bumi AS semakin pudar.
Walaupun Iran dibenarkan menyertai kejohanan tersebut, kehadiran penyokong mereka di AS masih menjadi tanda tanya.
Ini kerana Iran tersenarai dalam larangan perjalanan yang pernah dikuatkuasakan semasa pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.
Menurut laporan Planet Football, rakyat dari beberapa negara seperti Iran, Afghanistan, Sudan, Somalia, Libya dan Yemen dilarang sama sekali memasuki AS, sama ada dengan visa pelancong mahupun visa kerja.
Sehingga kini, belum ada kepastian sama ada sekatan ini akan dilonggarkan untuk penyokong Iran.
Namun begitu, pasukan bola sepak dan pegawai teknikal Iran mungkin akan diberikan pengecualian khas jika mereka dibolehkan menyertai kejohanan berprestij tersebut.
BACA: Bonnie Terus Unggul Rangkul Emas Piala Dunia 2025
BACA: 13 Pasukan Bakal Beraksi Dalam Saingan Liga Super Musim Depan
BACA: FAM Belum Muktamad Penyertaan Harimau Malaya Pada Piala Negara CAFA 2025
Sumber: SPORTbible