KUALA LUMPUR, 22 JUN 2022 – iQIYI International hari ini mengumumkan kerjasamanya dengan foodpanda bagi menghasilkan drama Original Malaysia pertama, Sorry Naik Lori. Kerjasama ini membuktikan pencapaian penting kepada iQIYI kerana ia merupakan kerjasama bersepadu pertama platform penstriman video atas permintaan ini dalam sebuah drama di Malaysia.
Kolaborasi diantara iQIYI dan foodpanda adalah satu usaha dalam mengintegrasikan penjenamaan platform penghantaran makanan dalam talian menerusi Sorry Naik Lori dimana jenama itu akan ditampilkan dengan lebih sempurna dalam bentuk watak sokongan penghantar perkhidmatan (delivery rider) foodpanda. Menerusi pendedahan sampingan jenama berkenaan, penonton juga akan disajikan dengan pengetahuan tentang perkhidmatan yang lebih mendalam dan tawaran terkini foodpanda menerusi drama yang akan diadaptasi dalam pelbagai babak yang menyokong jalan cerita drama ini.
“Kami berbesar hati dengan kolaborasi bersama foodpanda sebagai jenama rakan kongsi bersepadu pertama kami dalam menghasilkan sebuah drama Original Malaysia pertama iaitu Sorry Naik Lori. Peningkatan berterusan dalam penggunaan digital telah mendorong platform OTT menjadi arena yang amat berkesan untuk para pengiklan. Segmen pengiklanan OTT kini sedang membentuk semula landskap media berbayar kerana ia menawarkan skala yang boleh diukur serta memiliki keupayaan sasaran berpandukan data. iQIYI komited untuk menyesuai dan mempelbagaikan penyelesaian aspek pengiklanan kami secara berterusan bagi memenuhi keperluan rakan kongsi kami. Dengan memanfaatkan jumlah penonton global kami merentasi 191 negara, fokus kami adalah untuk memperkembangkan jenama rakan kongsi kami secara maksima,” kata Sukhbir Sidhu, Ketua Unit Jualan Pengiklanan, iQIYI Malaysia.

“Dengan foodpanda menjadi jenama rakan kongsi bersepadu pertama iQIYI, kami sedang meneroka lebih banyak perkongsian dengan jenama lain menerusi drama Original Malaysia untuk masa yang akan datang,” tambah beliau.
“Perkhidmatan penstriman telah menjadi satu pencabar kepada industri hiburan dan tontonan tradisional dan dengan kemampuan iQIYI yang memiliki segmen golongan sasar berkesan mengikut jenis kandungan yang ditonton, kami telah memutuskan untuk bekerjasama dengan mereka bagi melancarkan produk asli tempatan, Sorry Naik Lori. Kami percaya kolaborasi ini akan dapat memperkukuhkan imej positif foodpanda di kalangan penonton serta bakal membawa impak positif kepada para pengguna secara amnya. iQIYI merupakan aplikasi penstriman paling banyak dimuat turun di Malaysia dengan lebih 10 juta muat turun. Oleh itu, kerjasama ini dapat meningkatkan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai pelbagai perkhidmatan yang disediakan foodpanda selain daripada penghantaran makanan,” kata Bernard Chong, Pengarah Pemasaran foodpanda Malaysia.

Penghasilan drama Sorry Naik Lori adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan iQIYI untuk terus menyumbang ke arah ekosistem kandungan hiburan tempatan yang lebih mantap, hasil nukilan kreatif rakyat Malaysia. Menerusi kerjasama dengan syarikat produksi tempatan, iQIYI mempamerkan karya terbaik Malaysia yang bakal menjangkau pasaran global. Ia sekaligus akan memberi peluang dan pendedahan kepada bakat dan pencipta kandungan, selain turut menyokong jenama, pengiklan dan pemasaran tempatan.
Bagi meraikan permulaan penghasilan karya Original Malaysia pertama, iQIYI juga telah mengadakan “iQIYI Catwalk Challenge” di platform media sosial Tiktok. Pertandingan itu mencari 5 (lima) pemenang bertuah yang bakal membuat penampilan istimewa dalam penggambaran Sorry Naik Lori, di samping memenangi ganjaran tunai bernilai RM500. Mereka juga akan diberi peluang untuk tampil berlakon bersama Nazim Othman, Ruhainies, Nafiz Muaz, Sheila Mambo dan ramai lagi dalam satu adegan pertunjukan fesyen.
Selain memberi ganjaran kepada peminat, iQIYI juga menganjurkan sesi lawatan eksklusif kepada peminat dan menjemput pemegang pas VIP iQIYI yang bertuah untuk melawat set penggambaran serta menonton babak pertunjukan fesyen pada 21 Jun 2022. Mereka juga diberi peluang mendekati dan beramah mesra dengan bintang kegemaran mereka.
Hasil kolaborasi dengan syarikat produksi tempatan terkenal Tsar Asia, Sorry Naik Lori memaparkan gaya hidup moden pasangan menerusi plot drama dan komedi. Ia memaparkan kehidupan Khairul sebagai seorang pemandu lori muda yang tinggal di Pulau Pinang bersama isterinya, Nadia yang merupakan seorang suri rumah. Nadia memiliki impian menjadi ‘influencer’ media sosial. Pada suatu hari, hantaran media sosial secara rawak dalam NikNok mengenai dirinya di restoran menjadi tular dan membuatkan dia menjadi terkenal. Tidak lama kemudian, beliau mendapat tawaran daripada agensi pencari bakat. Sementara itu, keazaman Khairul untuk mencari pendapatan tambahan mendapat tentangan daripada pembuli di tempat kerjanya. Kejadian ini menyebabkan Khairul rasa tidak selamat dan hubungan mereka menjadi renggang. Dengan barisan pelakon yang terdiri daripada Nazim Othman, Ruhainies, Tajul, Nafiz Muaz, Sheila Mambo, Asha Zainul dan Ahmad Saffuan, Sorry Naik Lori akan membuat penonton terpikat dengan kepelbagaian jalan cerita dan pembangunan karakter. Penggambaran drama di pelbagai lokasi di seluruh negara turut menyaksikan peminat di negeri berbeza akan dapat merasai kepelbagaian budaya tempatan yang dipaparkan dalam pembikinan drama tersebut.