Kredit: Bernama

Ipoh Tersenarai Dalam 18 Destinasi Paling “Underrated” Di Asia

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Bandaraya Ipoh dilaporkan termasuk dalam senarai CNN bagi 18 tempat menarik yang kurang mendapat perhatian dunia di Asia.

Secara umumnya, pelancong akan mengunjungi tempat-tempat yang popular sama ada seni bina tamadun terdahulu seperti Angkor Wat dan Taj Mahal sehinggalah bandar-bandar metropolitan seperti Tokyo dan Hong Kong.

Perkara ini termasuklah pantai-pantai yang popular di Bali dan Phuket. Bagi para pelancong, tempat-tempat popular ini bakal memberikan jaminan kepada mereka untuk mendapatkan apa yang mereka ingini.

Namun. bagi para pelancong yang memiliki masa untuk melakukan sedikit carian maklumat, mereka dapat menjumpai tempat yang kurang dikunjungi pelancongan tetapi mempunyai nilai pelancongan yang menarik.

Oleh itu, pihak CNN Travel telah menyenaraikan beberapa lokasi pelancongan yang kurang dikenali di Asia tetapi sangat menarik untuk dikunjungi dan Ipoh merupakan salah satu lokasi yang tersenarai dalam senarai ini.

Menurut Heather Chen, ramai yang berfikir bahawa makanan Malaysia yang lazat hanya boleh didapati di Pulau Pinang. Baginya, perkara ini disebabkan mereka belum pernah mengunjungi bandar Ipoh, ibu negeri bagi Perak.

Kredit: Astro Gempak

Kedudukan Ipoh yang berada di antara Kuala Lumpur dan Georgetown merupakan salah satu destinasi perhentian yang ideal buat para pelancong yang ingin menikmati makanan Malaysia.

Kopi putih Ipoh merupakan salah satu kopi putih yang dikenali seluruh dunia dan menjadikannya sebagai satu sebab untuk mengunjungi bandar ini.

Selain itu, bandar tersebut berdekatan dengan laluan ke Cameron Highland, sebuah daerah di Pahang yang dikenali dengan memiliki cuaca yang nyaman dan ladang teh yang memukau.

Bukan setakat makanan yang padu, pemandangan di Ipoh juga boleh tahan memukau!

Bukan itu sahaja, Ipoh juga memiliki pemandangan bukit-bukit kapur dan gua-gua yang menjadi lokasi untuk beberapa kuil yang memiliki pemandangan yang unik.

Kredit: Bernama

Chen berkata, lawatan ke kuil-kuil Cina seperti Perak Tong, Sam Poh Tong dan Kek Lok Tong dapat memberikan anda pengalaman yang menakjubkan.

Hal ini seperti menyaksikan ukiran dan patung dewa-dewi Cina yang diperbuat dari gangsa dan ia dikelilingi dengan hiasan dari alam semula jadi dari batu-batuan kapur iaitu stalaktit dan stalagmit.

Bagi sesiapa yang menggemari sejarah, anda juga boleh melawat tapak tinggalan penjajah di bandar Ipoh seperti seni bina British pada stesen kereta api, Menara Jam Birch, dewan, pejabat pos lama dan sebagainya.

Kredit: Bernama

Selain Ipoh, terdapat beberapa lokasi lain yang tersenarai seperti Isaan (Thailand), Leshan (China), Skaru (Pakistan), Nikko (Jepun), Dalat (Vietnam) dan lain-lain lagi.

Sumber: CNN Travel