Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikannya selaku Menteri Kanan Luar Negeri.
Menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya, Hishammuddin mengumumkan akan mengetuai Kluster Keselamatan selain membantu Muhyiddin dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.
“Saya sedar dan saya insaf, dalam berdepan pandemik COVID-19, tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar. InsyaAllah saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya.
“Saya juga percaya, hanya dengan stabiliti, kesatuan dan kerjsama daripada semua pihak, kita mampu keluar daripada krisis ini bersama-sama,” katanya.
Tambah Hishammuddin, walau mememang apa jua jawatan dan kedudukan, beliau hanya memegang pendirian yang sama iaitu bekerja demi rakyat dan negara.
“Percayalah, apa jua jawatan dan kedudukan yang diamanahkan, pendirian saya tetap sama, iaitu hanya mahu bekerja demi rakyat dan negara dengan seikhlas hati. Saya berdoa, semoga Allah SWT meredai ketentuan ini. Amin ya rabbal alamin,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan berkuat kuasa serta merta.
Manakala, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri yang akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai Ismail Sabri.