
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat setelah perbincangan dijalankan bersama parti politik yang sehaluan dengannya.
Menerusi laman Facebook, Muhyiddin memaklumkan mengenai kunjungan yang diterima olehnya pada pagi ini (Ahad) setelah tiada parti yang memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) sekali gus menjadikan parlimen tergantung.
Difahamkan, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang melawat kediaman Muhyiddin bagi membincangkan mengenai pembentukan Kerajaan Persekutuan.
“Pagi ini saya menerima kunjungan YAB Tan Sri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS untuk membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan.
“Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen bebas. InsyaAllah, Kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat,” katanya menerusi Facebook sebentar tadi.
Sumber: Muhyiddin Yassin via Facebook