
‘Inspektor’ Wanita Perlekeh Anggota Bawahan Telah Digantung Tugas Sejak Minggu Lepas – Safuddin
Seorang anggota polis wanita yang tular baru-baru ini kerana mengeluarkan kata-kata kurang sopan serta merendahkan anggota bawahan dilaporkan telah digantung tugas sejak minggu lepas, lapor Astro Awani.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dua kertas siasatan telah dibuka berhubung kejadian itu.
Anggota polis wanita itu dilaporkan telah disiasat berdasarkan Seksyen 506 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Menurut Saifuddin, kertas siasatan juga telah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas pada 19 Jun lalu.
“Dengan kenyataan ini, masyarakat khasnya akan mendapat tahu bahawa pihak polis mempunyai kaedah dan mekanisme jelas untuk menghadapi perilaku yang sebegini.
“Perilaku sebegini boleh menyebabkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat, boleh juga beri sedikit sebanyak persepsi terhadap pasukan polis.
“Kita biarkan pasukan polis guna pakai undang-undang berkaitan dan gunakan saluran dalaman seperti Jabatan Integriti untuk menguruskan,” katanya.
Apabila ditanya berkenaan tempoh penggantungan tugas, beliau berkata bahawa ia bergantung kepada hasil siasatan serta jika dituduh di mahkamah. Namun anggota itu akan terus digantung tugas sehingga dia disabitkan kesalahan.
Datuk Seri Saifuddin berkata demikian dalam sidang media bagi menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Kuala Lumpur.
Terdahulu, polis mengesahkan telah menahan seorang anggota polis wanita yang tular dalam sebuah video. Anggota itu dilihat mengeluarkan kata-kata kurang sopan dan menghina kepada anggota bawahannya.
BACA: 7 Bentuk Bantuan Kerajaan Untuk Golongan Belia, Ramai Yang Tak Tahu
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar berkata bahawa penjawat awam itu telah ditahan. Anggota itu didakwa telah ditahan sekitar jam 1.29 tengah hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.
Berdasarkan rakaman tular itu lagi, suspek dilaporkan meninggikan suaranya dan merendahkan jawatan anggota bawahannya yang menjawat jawatan sebagai lans koperal.
Sementara itu, sebuah lagi rakaman video yang didakwa membabitkan pegawai polis yang sama sekali lagi telah tular. Rakaman itu menunjukkan pertengkaran antara anggota polis itu dengan orang awam di lokasi yang berlainan.
Sumber: Astro Awani