
Inspektor Polis Didakwa Atas Tuduhan Sebabkan Kegusaran Awam Di Pusat Beli-Belah
KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) — Seorang inspektor polis wanita, didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kegusaran awam dengan memarahi, menjerit dan membunyikan hon kereta terhadap seorang wanita di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah, Jun lepas.
Tertuduh, 35, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Dia didakwa melakukan mudarat awam dengan memarahi dan membunyikan hon kereta yang panjang atau lama serta menjerit di tempat kejadian sehingga menyebabkan kegusaran awam terhadap mangsa, 27.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Brickfields di sini pada 5.26 petang, 16 Jun lepas, mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 290 kanun sama yang membawa hukuman denda maksimum RM400, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman menawarkan jaminan RM1,000, namun peguam M. Manoharan mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya dikenakan bon jaminan dengan alasan wanita itu akan hadir ke mahkamah pada setiap tarikh prosiding kes yang ditetapkan.
BACA: Lain Dari Lain, Chef Ni Buat Drama Pendek Untuk Kongsi Resipi, Jalan Cerita ‘Plot Twist’ Habis
Manoharan berkata anak guamnya sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Majistret Selayang atas tiga pertuduhan dan mahkamah membenarkan jaminan berjumlah RM5,000.
“Oleh itu, saya mohon supaya OKS dilepaskan tanpa sebarang syarat serta diberikan bon jaminan. Pertuduhan hari ini adalah tidak berasas dan sangat memalukan sedangkan dia telah berkhidmat sebagai pegawai polis lebih sembilan tahun dan seorang yang berdisiplin serta tegas,” kata peguam itu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Dis ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Pada 26 Jun lepas, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang atas tiga pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat lans koperal dan seorang pemuda serta mengugut seorang wanita warga emas.
Sumber: BERNAMA