Sebuah kapal tangki dan sebuah kapal kargo telah berlanggar di perairan Muar sekitar jam 12.03 tengah malam tadi.
Melalui siaran media Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) hari ini, Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah menerima maklumat menerusi Maritime Rescue Coordinator Centre (MRCC) Putrajaya mengenai signal kecemasan yang diterima oleh sistem Cospas-Sarsat daripada sebuah kapal kargo bertanda nama MV Zephyr Lumos.
Manakala signal kecemasan sebuah kapal tangki bertanda nama MV Galapagos diterima melalui pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Pekan Baru, Indonesia masing-masing di kedudukan 14.1 barat daya Kuala Sungai Muar.
Gambar: APMMSejurus menerima maklumat, pihak MRSC Johor Bahru telah menyalurkan maklumat kepada Zon Maritim Batu Pahat (ZMBP) dan Pos Pengkalan Hadapan (FOB) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Batu Pahat bagi memohon bantuan aset. Kilat 47 daripada ZMBP dan PSC 37 Pasukan Polis Marin (PPM) telah diaturgerak ke lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran kejadian.
Gambar: APMMHasil pemerhatian dan pemantauan di lokasi kejadian disyaki kapal MV Zephyr Lumos telah terlanggar kapal-kapal MV Galapagos dan sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pihak Jabatan Laut Wilayah Selatan (JLWS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan kedua-dua pihak tersebut dimaklumkan akan mengambil tindakan lanjut dengan segera.
Sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian (07 – 219 9404) atau talian kecemasan MERS 999.
Sumber: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM)