Shah Alam, 27 April 2021 – Membawa beg galas baharu ke sekolah adalah satu kemewahan bagi golongan tertentu, khususnya masyarakat B40. Aspirasi Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) untuk merapatkan jurang ini direalisasikan menerusi inisiatif Bag-2-School yang menghadiahkan keperluan asas tersebut kepada lebih daripada 1,000 kanak-kanak kurang berkemampuan yang kembali ke sekolah untuk menyambung semula penggal persekolahan 2021, tatkala seluruh negara terus berusaha untuk pulih daripada pandemik.
“Pendidikan penting untuk memutuskan rantaian kemiskinan. Kami percaya keperluan asas yang serba baharu juga memainkan peranan dalam usaha mendorong kanak-kanak untuk belajar. Gardenia KL berterima kasih atas sokongan rakan-rakan daripada jabatan kebajikan masyarakat dan persatuan-persatuan yang membantu menjayakan inisiatif Bag-2-School (Beg Untuk Kembali Ke Sekolah) kami. Bersama-sama kami berhasrat menguja kanak-kanak untuk kembali ke sekolah dan belajar agar mereka mendapat peluang yang sama untuk mencapai potensi penuh mereka,” kata Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun.
Dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Pengguna Harapan Malaysia (PPHM), Gardenia KL mengagihkan 1,157 beg galas sekolah yang mengandungi bekas air minuman dan pelbagai produk Gardenia dengan jumlah nilai RM90,000. Beg-beg ini mula diagihkan dari 7 hingga 15 April untuk menceriakan kanak-kanak sekolah dari 18 sekolah di Lembah Klang dan Johor.
Sejumlah 18 sekolah menjadi penerima di bawah inisiatif Bag-2-School tahun ini yang terdiri daripada 10 sekolah di Lembah Klang, iaitu SK Seksyen 9 Kota Damansara, Petaling; SK Taman Cuepacs, Cheras; SJK Cina Lum Hua, Sabak Bernam; SMK Taman Selayang, Batu Caves; SMK Taman Klang Utama, Klang; SMK Sijangkang Jaya, Kuala Langat; SJK Tamil Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang; SJK Tamil Ladang West Country Barat, Kajang; SJK Tamil Ladang Bute, Sepang; dan SJK Tamil Sepang.
Manakala lapan lagi adalah sekolah-sekolah di Johor, iaitu SMK Seri Bali, Segamat, Johor; SJK Tamil Paloh, Johor; SJK Tamil Ladang Sri Gading, Batu Pahat; SK Kampung Kudung, Bekok, Johor; SK Seri Yong Peng, Johor; SJK Tamil Ladang Kulai Oil Palm, Kulai; SJK Tamil Ladang Kelan, Kulai, Johor dan SJK Tamil Ladang Southern Malay, Simpang Renggam, Johor.
Inisiatif Bag-2-School Gardenia KL yang diperkenalkan pada 2015 sudah menjadi satu tradisi tahunan dan kini memasuki tahun ke-7. Berinspirasikan semangat untuk menabur budi kepada masyarakat, kakitangan Gardenia KL telah mengumpul dana untuk membeli bekas air minuman, selain menyumbangkan tenaga and masa masing-masing untuk mengisi setiap beg sekolah demi kanak-kanak kurang berkemampuan yang bakal menerimanya.
Gardenia KL terus menyokong usaha memulihkan negara daripada pandemik Covid-19. Syarikat tersebut telah memperuntukkan RM1 juta untuk Program Bantuan Covid-19 Gardenia pada awal tahun lepas bagi membantu keluarga B40 yang terkesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Setakat ini, Program Bantuan Covid-19 Gardenia telah menghulurkan bantuan dalam empat peringkat dan usaha Gardenia KL menerusi program ini sentiasa berjalan untuk membantu negara pulih daripada kesan pendemik. Inisiatif ini telah membawa manfaat kepada Program Food Bank Malaysia, keluarga B40 dan petugas barisan hadapan termasuk penghantar barangan dan pemandu teksi yang menyediakan perkhidmatan perlu sejak Mac 2020.
Sepanjang usahanya untuk membantu masyarakat yang memerlukan, Gardenia KL bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM), Pertubuhan Kebajikan Oasis Harapan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
“Kami di Gardenia KL mendoakan keselamatan dan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia sementara negara menjalani fasa pemulihan ini. Kami juga percaya ada sinar yang lebih cerah menanti kita semua, terutama sekali anak-anak kita yang sedang menimba ilmu baharu dan meluaskan pengalaman mereka pada tahun persekolahan 2021,” kata Hazlinah.
Mengenai Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd
Gardenia KL ditubuhkan pada 1986 dan kini merupakan pengilang roti yang terulung di Asia Tenggara. Selepas bertapak 35 tahun, Gardenia mengendalikan operasi bakeri di Malaysia dan mengeluarkan 53 jenis produk setiap hari, termasuk pelbagai jenis roti, ban, kek, wafel, juga produk lain seperti sapuan dan mi kuning.
Setiap hari, Gardenia menghantar roti segar percuma kepada lebih 81 pertubuhan kebajikan seperti rumah orang tua, rumah anak yatim, pusat dan sekolah untuk pelajar pendidikan khas, lapan daripadanya telah menerima penghantaran percuma Gardenia sejak 1991.