Ibu bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Tun Rahah Mohamed Noah dimasukkan ke hospital berikutan komplikasi kesihatan.
Berita dukacita tersebut mendapat perhatian dan ihsan oleh ramai pihak, terutamanya pemimpin-pemimpin politik, tokoh serta warganet.
Najib menerusi satu hantaran di Facebook hari ini menzahirkan kebimbangannya terhadap keadaan kesihatan ibunya itu.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar bersama-sama mendoakan kesihatan dan kesejahteraan ibunda tercintanya itu.

“Bonda kurang sihat. Ramai yang datang menziarahi bonda di hospital. Saya minta saudara-saudari tolong doakan agar bonda diberi kekuatan dan sembuh.
“Ini tempoh yang amat sukar dan merisaukan untuk kami sekeluarga.
“Terima kasih Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta para pemimpin lain atas kesudian menziarahi bonda,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Namun apa yang turut menyentuh hati di sini adalah sifat ihsan yang dizahirkan oleh dua pemimpin utama iaitu perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudi menziarahi Najib di hospital tersebut.

Tolak tepi soal perbezaan politik, apa yang lebih penting pada ketika ini adalah sokongan moral dan doa serta silaturrahim sesama insan.
Justeru, kedua-dua pemimpin berkenaan tampil ke hospital bagi memberi sokongan serupa.
“Petang tadi saya meluangkan masa menziarahi Tun Hajah Rahah Tan Sri Haji Mohamed Noah di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.
“Sama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah SWT agar Tun Rahah yang merupakan balu perdana menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak dan juga bonda Datuk Seri Najib diberi kesembuhan dan dipermudahkan urusan rawatan. Amin,” kata Muhyiddin menerusi hantaran di Facebook.
Tidak kurang juga, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut sama menitipkan doa buatnya.
“Saya dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail sempat menziarahi bonda kepada Datuk Seri Najib Razak petang tadi yang kurang sihat. Mendoakan agar bonda beliau lekas sembuh dan kembali diberi kekuatan, InsyaAllah,” katanya.

Sumber: Facebook Najib Razak, Muhyiddin Yassin, Anwar Ibrahim