Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) fasa 1 bagi industri kreatif di Malaysia.
Keputusan tersebut diputuskan selepas perbincangan bersama Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 diadakan.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, kelonggaran yang telah dipersetujui ini hanyalah tertakluk kepada syaat SOP yang diluluskan oleh MKN kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.
Oleh yang demikian, mulai 9 September 2021 ini, semua penggiat industri kreatif yang telah lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 PPN.
Antara aktiviti-akativi yang dibenarkan adalah seperti berikut:
Pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung
Penyiara secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30% di ruang studio;
Penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studi kepada individu yang telah lengkap vaksin;
Indoor busking kepada individu yang telah lengkap vaksin;
Persembahan di lounge hotel kepada individu yang telah lengkap vaksin;
Aktiviti panggung wayang kepada individu yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50% di ruang dewan tayangan pawagam;
Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra-daftar) dengan penonton yang telah lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30% di ruang premis; dan
Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara temu janji) dengan pengunjung yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung 30% di ruang premis.
Jelasnya, keputusan tersebut diambil sebagai antara usaha yang dilakukan kerajaan bagi merangsang kelangsungan ekonomi penggiat seni dan industri kreatif.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam pembukaan sektor tersebut untuk sentiasa mematuhi syarat dan prosedur yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan khususnya dalam usaha negara untuk beralih ke fasa endemik menjelang akhir Oktober ini.