
Ini Sebab Mengapa Minum Susu Boleh Melegakan Rasa Pedas
Bagi sesetengah orang, makanan pedas sememangnya menjadi kegemaran.
Di sebalik keenakan tersebut, tidak semua orang mampu menahan kesan pedas yang melampau sehingga menyebabkan rasa tidak selesa pada mulut, mata atau perut.
Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat cara berkesan untuk mengurangkan rasa pedih akibat makanan pedas.
Justeru, kali ini SK akan kongsikan sama ada minum susu benar-benar mampu membantu melegakan rasa pedas, menurut portal Cleveland Clinic.
Adakah susu membantu melegakan makanan pedas?
Menurut portal Cleveland Clinic, kepedasan cili diukur menggunakan Skala Scoville iaitu Scoville Heat Units (SHU).
Lebih tinggi nilai SHU, lebih banyak capsaicin yang terkandung, lebih pedas rasa dan kesannya.
Satu kajian pada tahun 2019 membandingkan keberkesanan tujuh jenis minuman terhadap makanan pedas, iaitu susu skim, susu penuh krim, air berkarbonat, minuman Kool-Aid perisa cer, bir tanpa alkohol, minuman bergas dan air kosong.
Kajian tersebut mendapati hanya susu skim, susu penuh krim dan Kool-Aid ceri memberi kesan ketara dalam mengurangkan rasa pedas.
“Membilas mulut dengan apa sahaja lebih baik daripada tidak buat apa-apa, tetapi hanya susu dan minuman Kool-Aid menunjukkan prestasi lebih baik berbanding air kosong,” jelas seorang pakar perubatan keluarga, Dr. Mark Rood.
Susu badam atau oat tidak membantu
Difahamkan, susu mengandungi sejenis protein yang dipanggil casein, yang mampu memecahkan capsaicin, hampir sama seperti sabun pencuci pinggan memecahkan minyak.
Sebelum ini, doktor mengandaikan susu penuh krim lebih berkesan kerana kandungan lemaknya. Namun, kajian mendapati kedua-duanya memberikan kesan yang sama.
Menurut Dr. Rood, kandungan lemak bukan faktor utama dalam melawan kepedasan.
Ini bermakna apa sahaja jenis susu haiwan boleh membantu selepas makan makanan yang pedas. Namun, susu alternatif seperti susu badam atau susu oat tidak digalakkan kerana tidak mengandungi casein.
Mengapa air tidak berkesan untuk makanan pedas?
Portal Cleveland Clinic menjelaskan hal ini menggunakan analogi sabun. Jika anda cuba mencuci kuali berminyak hanya dengan air, anda pasti sedar ia tidak berkesan.
Ini kerana air tidak dapat memecahkan molekul minyak, sebaliknya memerlukan sabun.
Begitu juga dengan makanan pedas. Capsaicin tidak larut dalam air. Jadi, walaupun membilas mulut atau mata mungkin memberi sedikit rasa sejuk, ia tidak banyak membantu.
Di sinilah casein memainkan perananan yang tidak mampu dilakukan oleh air.
Bolehkah gula membantu melawan kepedasan?
Dr. Rood dalam portal Cleveland Clinis menjelaskan bahawa minuman manis berperisa mungkin membantu mengurangkan rasa pedas kerana kandungan gulanya yang tinggi.
“Terdapat laporan yang menyatakan sukrosa boleh mengurangkan rasa pedih makanan pedas, walaupun kesannya tidak sekuat susu,” tambahnya lagi.
Jika anda tidak mempunyai susu atau minuman Kool-Aid, cuba hisap seketul gula, yang mungkin dapat mengurangkan ketidakselesaan buat sementara waktu.
Adakah selamat meletakkan susu pada mata?
Mungkin kedengaran pelik untuk menuang susu ke mata, tetapi sama seperti susu boleh melegakan rasa pedih di mulut, ia juga boleh membantu menenangkan mata selepas terkena cili, menurut portal Cleveland Clinic.
“Bukan sesuatu yang luar biasa bagi petugas perubatan menyediakan susu sebagai rawatan awal kepada individu yang terdedah kepada gas pemedih mata atau semburan lada,” kata Dr. Rood.
Beliau juga menjelaskan bahawa susu selamat digunakan pada mata dan terdapat rekod penggunaannya tanpa mendatangkan mudarat.
Sakit perut? Jangan bergantung pada susu
Menurut portal Cleveland Clinic, jika anda mengalami ketidakselesaan perut selepas makan pedas seperti refluks asid, perut berangin atau ulser, susu bukanlah penyelesaian.
“Susu sebenarnya boleh memburukkan keadaan kerana ia boleh merangsang penghasilan asid yang kemudiannya perlu dicerna, lalu mencetuskan kitaran berulang,” jelas Dr. Rood.
Tambahan pula, bagi kira-kira 36 peratus rakyat Amerika yang mengalami intoleransi laktosa, pengambilan susu dan produk tenusu boleh menyebabkan kekejangan, gas, kembung dan cirit-birit.
BACA: Pakar Neuropsikologi Larang Buat Perkara ‘Ini’ Sebelum Tidur
Sumber: Cleveland Clinic