Gambar: Mirror

“Ini Sangat Luar Biasa,” Gadis ‘Cuak’, Temui Ular Berbisa ‘Menyorok’ Dalam ‘Inhaler’ Asma

Aqmal Ezany

Seorang remaja perempuan terkejut apabila menemui seekor ular berbisa bersembunyi di dalam alat sedut bagi penyakit asmanya, lapor Metro.UK.

Remaja tersebut difahamkan sedang hendak membasuh pakaiannya semalam di rumahnya di Bli Bli, Queensland, Australia.

Pada ketika itu, dia telah ternampak seekor ular keluar daripada pakaian yang sedang dibawanya untuk dibasuh itu.

Dia tidak pasti di mana kedudukan tepat ular itu berada sehinggalah dia melihatnya melilit di bahagian atas inhaler biru itu.

Susulan daripada itu, gadis tersebut telah memanggil pasukan penangkap ular, yang kemudiannya berjaya menangkap reptilia tersebut dengan selamat dan mengembalikannya ke habitat asalnya.

Ular jenis red-bellied itu sering dijumpai di pantai timur Australia dan bertanggungjawab untuk kes-kes beberapa patukan ular setiap tahun di sana.

Tidak ada kematian oleh ular tersebut dicatatkan, namun racunnya boleh menyebabkan gejala serius termasuk pendarahan, muntah-muntahm sakit perut, sakit kepala, cirit-birit dan otot menjadi lemah atau sakit.

Selepas penemuan semalam, Sunshine Coast Snake Catchers menulis di Facebook: “Anda pasti tidak akan mempercayai ini. Ini sangat luar biasa dan kami sangat bertuah kerana dapat menemui ular itu.”

Anggota pasukan Stuart McKenzie memberitahu 9News: “Ini adalah salah satu tempat yang paling luar biasa bagi ular bersembunyi yang pernah kami temui. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana rasanya untuk mengambilnya dan menjumpainya di sana.”

Walaupun ular itu masih lagi kecil, McKenzie menyatakan bahawa ia masih boleh menggigit jika ianya berasa terancam dan dikacau.

Dia menambah: “Mereka hanya berkeliaran, mencari makanan sepanjang tahun ini sebelum musik sejuk tiba.

Sumber: Metro.UK